Ustaz Azhar Idrus (kiri) bersama Ustaz Don di majlis tahnik anak kedua Siti Nurhaliza dan Datuk K, baru-baru ini.
Ustaz Azhar Idrus (kiri) bersama Ustaz Don di majlis tahnik anak kedua Siti Nurhaliza dan Datuk K, baru-baru ini.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penceramah bebas popular, Ustaz Azhar Idrus menafikan dia melakukan perjalanan merentas negeri untuk menghadiri majlis tahnik anak kedua penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa di Bukit Antarabangsa, di sini, pada 26 April lalu.

Azhar dalam satu video ceramahnya berkata, dia diundang ke majlis itu oleh Khalid yang juga sahabatnya dan dia kebetulan ketika itu berada di sini.

'Sudah tiga kali dia pelawa untuk hadir ke rumahnya. Datuk K (Khalid) ini kawan saya. Tiga tahun dah berkawan. Tapi saya tak sukalah bila ambil gambar dengan dia, nak menunjuk.

"Jadi, tiga kali dah dia minta datang (ke rumah). Bila saya ada di Kuala Lumpur, saya singgahlah.

"Yang kali ketiga (jemputan), saya segan juga sebab waktu saya sakit, dia datang ziarah selama dua jam. Dari Kuala Lumpur, dia datang tengok saya sakit," katanya.

Azhar berkata, kebetulan rumah keluarganya isterinya juga berdekatan dengan rumah Siti. Jadi, tidak ada masalah untuk dia singgah di situ.

Dia yang kebetulan berada di Kuala Lumpur pada hari majlis itu berlangsung hadir atas dasar untuk menziarahi sahabatnya.

"Saya beritahu dia yang saya sibuk dengan beberapa urusan. Lagipun, saya bergerak beramai-ramai, penuh satu kereta Toyota Vellfire.

"Dia cakap, pukul berapa pun boleh datang singgah minum di rumah. Saya bukan berkawan dengan Siti, tapi suami dia," katanya.

Menurutnya, ketika dia tiba di kediaman penyanyi itu, majlis tahnik itu masih lagi berlangsung.

"Saya beritahu yang saya akan datang selepas solat tarawih. Apabila saya sampai, majlis belum selesai lagi. Bila sahabat kita minta untuk doakan anaknya, boleh tak?" katanya.

Terdahulu, netizen mempersoalkan kehadiran Azhar yang menetap di luar Selangor dan Kuala Lumpur dikatakan merentas negeri untuk ke majlis itu.

Selain Azhar, turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, serta dua penceramah terkenal lain iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Iqbal Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 4:50 PM