PUTERA Amaris mahu membantu lebih ramai orang yang berhadapan kesempitan hidup.
PUTERA Amaris mahu membantu lebih ramai orang yang berhadapan kesempitan hidup.
Norhayati Nordin

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun, kehidupan tetap harus diteruskan meski dugaan dihadapi agak besar dan mencabar.

Menyedari, ramai yang terkesan dengan kesempitan hidup berikutan penularan pandemik Covid-19 di negara ini sejak tahun lalu, pelbagai usaha cuba dilakukan untuk membantu.

Salah seorangnya ialah pelakon Putera Amaris yang berasa terpanggil membantu golongan memerlukan menerusi program Infaq Ramadan #samasamakenyang #samasamakongsirezeki yang dilakukannya, baru-baru ini.

Menurut Putera Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail, dia sangat terkesan melihat kesempitan hidup ditanggung golongan keluarga asnaf di ibu kota yang dalam kategori 'miskin bandar.

"Menerusi program Infaq Ramadan yang saya lakukan ini bersama ahli pasukan dengan berusaha mengumpul dana hasil sumbangan daripada orang ramai dan syarikat korporat berminat, dapat juga kami membantu kira-kira 500 keluarga asnaf di sekitar ibu kota.

"Dari 10 hingga 20 April lalu, kami dapat hulurkan bantuan kewangan yang berjaya dikumpul lebih RM100,000 untuk membantu semua keluarga asnaf itu yang menjadi sasaran utama sepanjang program ini.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Allah membantu mempermudahkan usaha kami. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang terbabit dalam program ini. Ia diakui menjadi cabaran baharu buat saya," katanya.

Putera Amaris yang kini menjalankan perniagaan kuih tart berkata, apabila melihat kesusahan dan kesempitan hidup orang lain, dia berasa sebak. Pada masa sama, katanya dia bersyukur masih mampu menyara keluarga, isteri dan anak dengan baik.

PUTERA Amaris (tengah) bergambar bersama penaja ketika menghadiri Majlis Penyerahan Infaq Ramadan #samasamaKenyang di Maahad Tahfiz Misbahul Falah, Keramat.
PUTERA Amaris (tengah) bergambar bersama penaja ketika menghadiri Majlis Penyerahan Infaq Ramadan #samasamaKenyang di Maahad Tahfiz Misbahul Falah, Keramat.

"Saya kalau boleh nak bantu lebih ramai orang susah. Memang ramai sangat sebenarnya, tapi sayang saya bukan orang kaya yang ada banyak duit. Malah, perniagaan kuih tart yang saya jalankan pun masih baharu lagi.

"Justeru, semoga bisnes yang saya jalankan ketika ini berjaya. Saya nak ada banyak duit untuk membantu orang lain kerana berhasrat mahu terus berkongsi rezeki," katanya.

Oleh itu, Putera Amaris amat berterima kasih kepada beberapa pihak seperti Pengasas bersama Chef Tako, Muhammad Misyael Abd Rama serta pihak Penyet Penyet.Com yang turun padang bersamanya menyertai program Infaq Ramadan berkenaan.

Ujar Putera Amaris, biarpun baru kali pertama dia berusaha membuat program amal itu, namun tindakan murninya membuahkan hasil positif selepas dapat membantu keluarga asnaf termasuk anak yatim, pelajar tahfiz, ibu tunggal, rumah orang tua dan juga gelandangan.

Katanya, dia berhasrat menjalankan program amal itu secara berterusan kerana masih ramai rakyat di negara ini yang perlukan bantuan. Biarpun kerajaan ada membantu dari segi agihan zakat dan sebagainya, tapi jumlah diterima mereka tidak mencukupi.

"Kos sara hidup sekarang agak tinggi terutama di ibu kota. Malah, ramai juga orang yang kehilangan kerja akibat pandemik ini dan ada di antara mereka pula menerima dugaan bertimpa-timpa. Situasi dialami itu agak mencabar.

"Oleh itu, saya menyeru lebih banyak pihak korporat termasuk golongan artis berkemampuan yang berminat untuk turut sama menyertai program amal sebegini. Sedikit-sebanyak, ia adalah bekalan untuk saham akhirat kita juga," katanya.

Menyimpan impian untuk membantu penggiat seni yang terjejas pendapatan juga, Putera Amaris berkata, dia tetap berhadapan kekangan tertentu seperti harus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk keselamatan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:20 AM