ZED Zaidi. FOTO arkib NSTP
ZED Zaidi. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menafikan kenyataan 'drama syok sendiri' itu ditujukannya kepada drama Nur yang ditayangkan satu episod di stesen televisyen Indonesia, baru-baru ini.

Zed menerusi siaran langsung di Facebook menjelaskan kenyataan 'drama syok sendiri' yang dibuatnya itu adalah secara menyeluruh terhadap drama tempatan yang kurang berkualiti.

"Kenyataan saya tidak ditujukan langsung kepada drama Nur. Saya menjawab soalan yang diberikan wartawan itu berkaitan 'drama syok sendiri' secara menyeluruh dan tidak ditujukan pun pada drama Nur.

"Bagi saya, drama Nur yang dihasilkan itu sangat menarik jalan ceritanya dan saya pun ada menonton. Malah, saya akan tambah berbangga jika dapat menjadi salah seorang pelakon drama itu," katanya.

Menurut Zed, sebagai presiden persatuan dia juga sentiasa menyokong produk drama tempatan termasuk, berusaha memperjuangkan artis-artis kelahiran industri tanah air.

"Saya sebenarnya menjawab soalan daripada wartawan itu secara umum kerana pertanyaan berhubung isu 'drama syok sendiri' sudah pernah saya jawab pada temubual dengan media lain sebelum ini.

"Ia tak ditujukan pun kepada drama Nur. Tapi, sekarang kenyataan saya menjadi hangat apabila penerbit dan pengarah termasuk pelakon drama itu turut mengeluarkan kenyataan. Malah, saya juga dikecam," katanya.

Menurut Zed, dia sebenarnya gembira apabila mengetahui drama Nur mendapat tayangan di stesen TV Indonesia. Katanya, ia berikutan bukan mudah untuk produk dari negara ini dibawa masuk ke negara jiran itu.

"Masyarakat Indonesia mempunyai sentimen yang kuat terhadap produk luar. Tak kisahlah sama ada karya seni, sukan atau sebagainya sukar mendapat peluang kerana mereka lebih memberi perhatian dan menyokong produk dari negara sendiri.

"Untuk drama Nur itu yang mendapat tayangan satu episod sebelum ini, saya menjawab pada wartawan berkenaan, mungkin disebabkan kurang promosi, sentimen dua negara dan juga perbezaan bahasa.

"Di Indonesia, mereka sangat berpegang kuat pada bahasa Indonesia dan kita kena tahu menggunakan bahasa mereka jika nak mencuba nasib di sana. Di Malaysia, penonton kita boleh terima apa saja karya dalam pelbagai bahasa walaupun mereka tak faham," katanya.

Zed juga berkongsi pengalaman pernah dialaminya dahulu ketika aktif sebagai pelakon apabila terbabit dengan urusan untuk penggambaran di luar negara, termasuk di Indonesia.

Terdahulu, penerbit dan pengarah Shahrulezad membidas kenyatan Zed dengan mengatakan karya yang dihasilkan bukan semata-mata untuk kepuasan diri sebaliknya, atas permintaan peminat drama Melayu. 

Difahamkan, drama Nur ditayangkan kembali di Indonesia berikutan desakan peminat drama itu di sana yang marah apabila tayangannya dihentikan.

Drama Nur dibintangi pelakon Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Azhan Rani, Noorkhiriah, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 7:11 PM