Putra Amaris.
Putra Amaris.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon, Putra Amaris, 36, mengakui dia sebak dan sedih melihat kesusahan kehidupan ditanggung golongan keluarga asnaf di ibu kota yang dalam kategori 'miskin bandar'.

Putra Amaris atau nama sebenarnya Amran Ismail berkata meskipun jumlah kewangan dapat dikumpulnya hasil kutipan daripada orang ramai serta bersama beberapa pihak lain tidaklah begitu besar, tapi rezeki itu berjaya diagih sebaik mungkin.

Terdahulu, Putera Amaris terbabit melakukan program Infaq Ramadan #samasamakenyang #samasamakongsirezeki yang bertujuan membantu meringankan beban beberapa golongan sasaran yang memerlukan bantuan dan sumbangan kewangan.

"Alhamdulilah, sebanyak 500 keluarga asnaf termasuk anak yatim, pelajar tahfiz, ibu tunggal, rumah orang tua dan gelandangan dapat kami bantu dalam program ini sepanjang tempoh sasaran 11 hari dari 10 hingga 20 April lalu. Syukur juga dalam masa singkat, bantuan kewangan yang dapat dikumpul melebihi RM100,000.

"Dengan izin Allah, saya gembira dan bersyukur apabila usaha murni yang dilakukan ini berjalan lancar. Semua wang sumbangan yang sudah di infaq oleh penderma dapat disampaikan kepada semua penerima berhak. Saya sangat berterima kasih dengan sokongan diberikan," katanya kepada Harian Metro.

Ujar Putera Amaris, meskipun terdapat kekangan tertentu apabila harus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan akibat pandemik Covid-19, dia pasrah kerana paling utama sumbangan berkenaan dapat dilhulurkan sepenuhnya.

"Paling saya terkesan, setiap kali melihat mereka (penerima keluarga asnaf) tak henti-henti menitipkan kesyukuran kepada Allah, meskipun bantuan kewangan dihulur sekadar beberapa ratus saja untuk satu keluarga.

"Betapa ramainya orang terjejas pendapatan dan hidup susah akibat pandemik ini. Bahkan, ada juga di antara mereka diuji lagi dengan masalah kesihatan yang menghalang untuk keluar bekerja mencari rezeki. Situasi itu cukup menginsafkan, untuk saya terus bersyukur dengan apa yang ada," katanya.

Menurut Putera Amaris, dia berhasrat lebih ramai lagi orang yang berkemampuan termasuk syarikat korporat tampil untuk menghulur sumbangan bagi menjayakan program Infaq Ramadan itu.

Katanya, dia juga menyeru golongan artis yang berminat untuk turut sama menyertai program amal berkenaan. Ujar Putera Amaris, ramai juga penggiat seni yang terjejas pendapatan dan menjadi harapannya untuk membantu.

"Saya bukan orang kaya yang ada banyak duit. Malah, perniagaan kuih tart yang saya usahakan sekarang pun masih baharu dan perlukan masa untuk kukuh. Tapi, saya memang ada niat nak membantu golongan yang memerlukan.

"Harapan saya, semoga bidang bisnes yang dijalankan sekarang ini berjaya dan saya ada banyak duit untuk membantu orang lain. Saya akan berusaha selagi termampu demi berkongsi rezeki," katanya.

Sehubungan itu, Putera Amaris juga berterima kasih kepada beberapa pihak seperti Pengasas bersama Chef Tako, Muhammad Misyael Abd Rama dan pihak Penyet penyet.com yang turut sama berminat menyertai program amal berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 1:57 PM