Penyanyi, Adira Suhaimi hadir pada pelancaran produk kecantikan Fofaskin di Dewan Berjaya Bukit Kiara Equestrian and Country Resort Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Penyanyi, Adira Suhaimi hadir pada pelancaran produk kecantikan Fofaskin di Dewan Berjaya Bukit Kiara Equestrian and Country Resort Kuala Lumpur. FOTO AZIAH AZMEE
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Siapa yang buat baik dengan kita, takkan nak balas jahat pula. Malah, kalau orang itu buat kejahatan pun, saya takkan buat apa-apa," kata penyanyi, Adira Suhaimi, 30, mengenai hubungan baiknya dengan anak tiri dan bekas isteri pertama suaminya, Datuk Seri Adnan Abu.

Adira berkata, rumah tangganya bersama suami juga baik-baik dalam semua hal.

"Kehidupan saya sekarang, okay. Alhamdulillah dari segala segi kerana anak-anak pun makin membesar. Malah, saya juga sudah terbiasa mengurus mereka dan sebagai ibu yang berkerjaya.

"Mula-mula dulu saya mengaku rasa susah juga nak sesuaikan diri kerana anak masih kecil dan rapat-rapat. Tapi, bila sudah lama macam sekarang, saya dah okay sebab cepat juga belajar daripada situasi.

"Sebenarnya, bila nak kahwin dulu, saya tak fikir dah sedia ke belum untuk bergelar isteri dan bila mengandung pula, saya tak fikir juga sama ada bersedia atau tidak jadi seorang ibu," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran produk kecantikan FOFASKIN, di sini, semalam.

Menurut Adira, faktor usia juga mendorong dirinya menjadi lebih matang dan dia kini selesa dengan situasi ambil segala kebaikan dan jauhkan segala yang buruk.

Baru-baru ini, Adira memuat naik gambar bersama anak tirinya yang berusia 22 tahun dengan keterangan gambar bertulis, 'semoga dimurahkan rezeki buatmu. Terima kasih belanja ami buka puasa'.

Katanya, hubungan mereka memang baik.

"Dulu, sebelum dia (anak tiri) berkahwin kami memang pernah tinggal bersama. Jadi, sekarang apabila sudah berumah tangga, rasanya tak salah pun kalau dia ajak saya keluar dan belanja makan.

"Bagi saya, siapa yang baik dengan saya, tetap akan dibalas baik juga. Lagipun, dah memang hubungan kami baik seperti kawan-kawan. Kami pun sama-sama perempuan. Pada saya, orang dah berbuat baik maka, kita wajar menerimanya dengan baik dan ikhlas juga. Alhamdulillah, syukur pada Allah," katanya.

Adira yang mengakui kurang selesa berkongsi perihal peribadinya berkata, dia sedia menjawab apa yang ditanya media, jika tidak keterlaluan untuk pihaknya memberi maklum balas biasa.

Adira yang popular dengan lagu Pujaan Hati dan Maaf bertemu jodoh dengan Adnan yang juga ahli perniagaan pada 3 Disember 2015

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Anggrek, 4, Asan, 3, dan Anggun, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 3:25 PM