AISHAH Azman bersyukur bebas dari penyakit Covid-19. FOTO IG
AISHAH Azman bersyukur bebas dari penyakit Covid-19. FOTO IG
Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Biarpun disahkan negatif Covid-19, pelakon Aishah Azman tetap kecewa dengan penerbit drama lakonannya berjudul Rindu Yang Hilang.

Menerusi Instagram Story hari ini, pelakon berusia 24 tahun itu secara terbuka menyatakan kekesalan berhubung perkara terbabit.

"Alhamdulillah. Saya negatif. Terima kasih semua yang mendoakan baik-baik untuk saya dan keluarga dan team #RinduYangHilang. Moga Allah membalas kepada pihak yang tak bertanggungjawab dengan setimpal.

"Saya sebagai salah seorang pelakon untuk team #RinduYangHilang sangat kecewa dengan tanggungjawab penerbit team ini. Beliau boleh memaksa seorang pelakon yang memang dah ada kontak rapat dengan pesakit positif Covid untuk hadir menjalankan penggambaran tanpa fikirkan pihak pelakon dan team yang lain.

"Atas sebab tak nak bayar lebih untuk tambahan hari, beliau juga biarkan pelakon untuk bekerja hingga 24 jam atas sebab tak nak mengeluarkan bajet," tulisnya.

Aishah turut memaklumkan ini pengalaman pertamanya bekerja dengan penerbit yang mementingkan diri sebegini rupa.

"Selepas dapat tahu pelakon terbabit positif Covid, beliau langsung tak bertanggungjawab untuk membayar semua kos swab test pada semua team #RinduYangHilang. You're too much," katanya.

Drama didakwa terbitan Bright Network ini turut menampilkan pelakon Aman Shah, Kuza, Linda Hashim dan Ezzaty Abdullah.

Menerusi video yang dimuat naik di Instagram, Aishah memberitahu melakukan 'swab test' berikutan dirinya kontak rapat kepada pelakon Laila Nasir. 

Laila yang positif Covid-19 pada 22 April lalu, menjalani penggambaran Rindu Yang Hilang selepas menghabiskan penggambaran drama Kiblat Yang Hilang di Pangsun, Hulu Langat pada 12 April sebelumnya.

Selain itu, dua lagi pelakon drama terbabit iaitu Farisha Irwayu dan Sweet Qismina turut positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 3:37 PM