RAMLAH Ram sangat bersyukur memiliki tahap kesihatan yang baik.
RAMLAH Ram sangat bersyukur memiliki tahap kesihatan yang baik.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi popular, Ramlah Ram, 56, belum terbuka hati untuk menerima tawaran menyertai program realiti popular, Gegar Vaganza (GV).

Ramlah berkata, dia bukan menolak langsung untuk menyertai pertandingan nyanyian yang diminati ramai itu, tetapi belum bersedia buat masa sekarang.

"Saya ada menerima tawaran GV sebelum ini, tapi nampaknya memang belum terbuka hati untuk menyertai pertandingan itu lagi. Namun, jangan salah faham pula yang saya tak mahu sertainya langsung. Nak kata tak nak terus sertai (GV) itu, saya memang tak berani sebab soal hati ini kita tak tahu. Cuma, bagaimanapun buat masa sekarang saya memang belum bersedia lagi.

"Bagi saya, kalau dah kata setuju terima kita kena beri komitmen 100 peratus dan kena beri sepenuh hati kita memang betul-betul nak masuk pertandingan itu, barulah boleh beri persembahan yang baik," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ramlah, jika membabitkan persetujuan menyertai pertandingan, sebagai peserta perlu ada sasaran dan perancangan yang teliti.

Namun, buat masa sekarang dia lebih selesa menjadi penyokong rakan-rakannya saja.

Bercerita mengenai vokalnya yang kekal lunak hingga kini, Ramlah berkata, dia bersyukur kerana Allah SWT memberikannya kesihatan yang baik.

Katanya, petua paling utama adalah menjaga kesihatan diri.

Katanya, sepanjang 36 tahun pembabitan dalam industri seni sebagai penyanyi, dia sangat bersyukur memiliki tahap kesihatan yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 3:22 PM