DARI kiri, Azhan Rani, Wani Kayrie dan Abby Fana.
DARI kiri, Azhan Rani, Wani Kayrie dan Abby Fana.
Norhayati Nordin

Mengimbau semula kenangan berpuasa ketika kanak-kanak nyata mencuit hati.

Apatah lagi, jika ia cukup sentimental dan terkesan di jiwa.

Setiap daripada kita sudah tentu ada kenangan Ramadan yang hingga kini tidak dilupakan. Terutama, membabitkan kenangan bersama keluarga yang pastinya ibu bapa tersayang.

Azhan Rani pernah hilang di Puduraya

Kenangan Ramadan yang masih berbekas di hati Azhan Rani hingga kini ialah ketika bersama arwah bapanya yang disifatkan sebagai individu paling sibuk memastikan juadah berbuka lengkap.

Azhan berkata, bapanya selalu akan bising jika juadah berbuka tak siap.

"Apa yang paling saya rindu ketika arwah letakkan nasi dan lauk untuk kami adik-beradik. Malah, ketika saya masih kecil arwah juga sanggup asingkan tulang ikan, sebab takut saya tercekik.

"Selain itu, perasaan gembira teramat sangat apabila dia membawa kami ke bazar Ramadan. Memang melompat-lompatlah kami seronok, terutama apabila di penghujung Ramadan sebab nak dapat baju raya," katanya

Menurut Azhan, keseronokan jadi berganda apabila bapa membawa mereka sekeluarga menaiki bas dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Kuala Lumpur untuk membeli persiapan Aidilfitri.

Azhan berkata, kenangan bersesak-sesak membeli baju raya di tempat kesukaan arwah bapanya iaitu Wisma Yakin dan Jalan Tuanku Abdul Rahman memang takkan sesekali dilupakan.

Azhan berkata, dia juga tak boleh melupakan insiden dalam bulan Ramadan apabila dia pernah hilang di terminal bas Puduraya kerana terlalu nakal dan berlari ke sana sini.

Katanya, ketika itu ibu bapa dan adik-beradik lain sudah menaiki bas, tetapi dia tersesat di tingkat satu.

Mujur ada individu yang membantu dan membawanya berjumpa semula dengan keluarga.

Wani 'curi-curi' bawa botol air

Sudah mula berpuasa ketika di sekolah rendah, nyata sukar menepis sikap mengikut kawan. Apatah lagi, jika aktivitinya untuk membatalkan puasa.

Penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie berkata, dia pernah mengikut rakan-rakannya yang mengajak membawa botol air ke sekolah untuk minum dan sekali gus terus berbuka puasa atau 'memecahkan' puasa.

"Kenangan ini bagi saya memang lucu. Disebabkan tak mahu berpuasa, saya sanggup 'curi-curi' bawa botol air dalam beg sekolah. Setiap kali habis satu mata pelajaran, kami senyap-senyap masukkan kepala dalam beg masing-masing untuk minum.

"Selain itu, perkara paling seronok ketika Ramadan semasa kanak-kanak ialah menghitung hari nak menyambut Aidilfitri. Ini kerana, saya sudah berkira-kira dapat mengumpul duit raya berapa banyak dan biasanya setiap tahun saya dapat RM600," katanya.

Abby tolong ibu siap sajian sahur

Mula berpuasa sejak berusia enam tahun, bekas penyampai radio Sinar, Abby Fana berkata, dia akan membantu ibunya menyediakan hidangan sahur untuk seisi keluarga dan biasanya dia diminta ibu untuk memasak nasi.

"Perkara yang tak boleh dilupa ketika kecil dulu ialah kami menetap di flat kuarters di Singapura. Kami juga menyidai pakaian di dalam rumah menggunakan buluh.

"Apa yang menarik, ketika Ramadan ibu saya mengetuk buluh itu bagi bagi mengejutkan jiran-jiran di atas dan di bawah rumah kami supaya bangun sahur. Kalau jerit-jerit nanti, mengganggu orang lain pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 6:47 AM