HAMIZAH dan bekas suami, Aidid. FOTO IG
HAMIZAH dan bekas suami, Aidid. FOTO IG
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Belum reda 'perang' membabitkan anak beranak, Datuk Chef Wan dan Serina Redzuawan, kini berita perkahwinan pelakon itu dengan Aidid diduga pula dengan pendedahan bekas isteri anggota polis itu.

Bekas isterinya iaitu Nur Hamizah Shaffee, 34, mendedahkan perkahwinan pasangan itu berlangsung sewaktu Aidid masih bergelar suami kepadanya selain tidak menyalahkan kenyataan dibuat Chef Wan.

Tujuan Nur Hamizah bersuara adalah bagi membersihkan nama keluarganya selepas berita berkenaan menjadi sensasi. Hamizah yang bekerja sebagai pensyarah itu juga hairan kenapa Serina dan Aidid menipu.

"Saya cuma nak bersihkan nama keluarga, sebab tu saya beritahu perkara sebenar. Saya tak tahu kenapa mereka (Serina dan Aidid) perlu menipu. Memang benar mereka bernikah ketika Aidid masih suami saya yang sah.

"Hubungan saya dengan bekas suami pun tiada sebarang masalah. Kehiduapan kami bahagia biarpun kadangkala terpaksa berjauhan kerana kerja masing-masing.

"Saya ada hubungi Chef Wan untuk jelaskan hal ini tapi tak berjawab. Dia tak tahu apa-apa mengenai pernikahan itu dan langsung tidak bersalah dalam hal ini. Harap netizen janganlah menilai dengan membaca cerita satu pihak (Serina) sahaja," katanya.

Nur Hamizah turut mendedahkan dia diceraikan Aidid, yang berpangkat Inspektor dan bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pada 9 Mac lalu.

"Ikutkan saya nak berdiam diri sahaja tapi apabila dia (Serina) beritahu perkara tidak betul, saya perlu bersuara. Saya syak mereka berkahwin pada minggu ketiga pada Februari lalu.

"Pada 9 Mac lalu, saya diceraikan dengan talak satu. Cukup sebulan kami bercerai, Serina kongsi berita perkahwinan mereka kepada umum," katanya.

Terdahulu, kecoh apabila Chef Wan meluahkan rasa kecewa apabila hanya mendapat tahu mengenai pengumuman pernikahan anaknya, Serina daripada kakaknya. Beliau turut mendedahkan pasangan itu bernikah di Thailand.

Ia susulan selepas Serina mengumumkan sudah melangsungkan pernikahan dengan Aidid. Serina turut menafikan mereka bernikah di Thailand, sebaliknya ia dijalankan di Perlis. Dia turut menafikan Aidid berstatus suami orang sebaliknya adalah seorang duda.

Sebelum ini, Serina pernah mendirikan rumah tangga dengan Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010. Bagaimanapun, mereka bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 11, dan Isabella Saffiya, 10.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 1:32 PM