NORYATI mengadu sakit badan sebelum meninggal dunia di kediamannya di Pasir Gudang.
NORYATI mengadu sakit badan sebelum meninggal dunia di kediamannya di Pasir Gudang.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Semalam dalam jam 1 pagi, dia mengadu sakit badan. Jadi, dia minta ubat tahan sakit. Selepas itu dia terus rebah. Anaknya terus menghubungi ambulans dan hasil pemeriksaan Mak Uda disahkan meninggal dunia," kata pengarah popular, Shahrulezad Mohameddin mengenai pemergian pelakon yang juga ibu saudaranya, Noryati Taib, 63, awal pagi hari ini.

Noryati yang popular dengan panggilan Makcik Petir meninggal dunia di kediamannya di Pasir Gudang, Johor, jam 1.45 pagi, hari ini.

Shahrulezad ketika dihubungi berkata, Norhayati yang dipanggil Mak Uda Yati itu menghidap kencing manis sebelum kesihatannya merosot apabila disahkan positif Covid-19 pada awal Februari lalu.

"Selepas kaki kanan Mak Uda dipotong, dia disahkan positif Covid-19 pula pada awal Februari. Apabila bebas jangkitan itu, kesihatannya pula terus merosot. Dia hanya terbaring saja di rumah. Semua penggambaran terpaksa dibatalkan. Ketika itu kami menjangkakan kesihatannya susah nak pulih," katanya kepada Harian Metro.

Shahrulezad berkata, Allahyarham meninggal dunia di sisi suami dan empat anaknya.

"Saya tak sempat nak balik. Kalau nak balik pun kena pergi berurusan di balai polis lagi. Nanti banyak soal pula dan ambil masa lagi. Jadi, mana ahli keluarga yang ada di sini kami akan buat solat jenazah ghaib saja. Apa yang penting adalah doa untuk Mak Uda Yati.

"Bagi semua peminat Mak Uda Yati marilah kita sama-sama doakan dan sedekahkan al-Fatihah supaya roh beliau dirahmati Allah dihimpunkan beliau dalam kalangan mereka yang solehin. Semoga Allah memberikan kekuatan pada semua ahli keluarga besar kami dalam berdepan dengan dugaan ini," katanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandi dan disembahyangkan di Masjid Perjiranan 9, Pasir Gudang jam 9 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh Johor Bahru.

Terdahulu, pada September 2017, Noryati pernah kritikal dan dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru apabila mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Noryati menjalani pembedahan akibat komplikasi diabetes dan dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan di HSI.

Namun, pelakon itu mengalami sesak nafas sehari kemudian hingga keadaannya kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI pada 24 September 2017.

Noryati dikenali menerusi drama Sindarela, Syurgamu Ramadan, Dotty, Tari Tirana dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 10:40 AM