BTS tak mahu berdiam diri dan mengutuk perihal diskriminasi. - FOTO Google
BTS tak mahu berdiam diri dan mengutuk perihal diskriminasi. - FOTO Google
HM Digital

ANNYEONGHASEYO!

Kebimbangan mengenai isu kebencian dan keganasan terhadap rakyat Asia di Amerika Syarikat (AS) semakin memuncak. Sehingga kini, 33 kes direkodkan berlaku untuk tahun ini sahaja.

Justeru, kempen tanda pagar Stop Asian Hate dan Stop AAPI Hate terus dirancakkan demi memberi kesedaran kepada isu terbabit. Mana tidak, isu itu semakin melarat sehinggakan ada turut mengorbankan nyawa.

Turut tampil bersuara adalah BTS. Kumpulan itu tidak mahu berdiam diri dan mengutuk perihal diskriminasi yang semakin menjadi-jadi terhadap rakyat Asia di AS. Ia berikutan, mereka juga pernah berdepan pengalaman sedemikian.

Menerusi sebuah surat terbuka yang dikongsi, BTS menyeru supaya isu berkenaan mendapat perhatian serius dan segera berakhir. Mereka turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa yang terkorban akibat keganasan itu.

"Kami ingin mengirim ucapan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang. Kami turut berdukacita serta marah. Kami terkenang saat-saat ketika kami kena diskriminasi sebagai orang Asia.

"Kami terpaksa menanggung tohmahan tanpa sebarang sebab munasabah dan diejek hanya gara-gara wajah kami. Kami juga turut dipersoal kerana bertutur dalam bahasa Inggeris sedangkan kami orang Asia," kata mereka.

Walaupun pengalaman mereka tidak seteruk yang berlaku di AS sekarang, BTS tidak menafikan hal itu sememangnya sangat memedihkan. Justeru, mereka ingin turut serta untuk menyuarakan isu itu selantangnya.

"Sukar untuk kami gambarkan dengan kata-kata mengenai kesakitan menjadi subjek kebencian serta keganasan. Pengalaman kami sendiri tidak sebesar mana pun jika dibandingkan dengan apa yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

"Namun pengalaman itu sudah terlalu cukup untuk membuatkan kami rasa lemah dan hilang keyakinan diri. Kita tidak boleh menutup mata bahawa apa yang berlaku sekarang berkait dengan identiti kita sebagai orang Asia," katanya.

BTS juga akui mengambil sedikit masa untuk tampil bersuara mengenai isu berkenaan kerana mahu menyusun mesej yang kuat. Apapun, mereka bertegas untuk melawan isu diskriminasi berkenaan dengan sepenuh hati.

"Ia menuntut masa untuk kami pertimbangkan bagi berbincang mengenai isu ini dengan berhati-hati. Kami juga banyak teragak-agak bagaimana perlu kami suarakan mesej kami supaya lebih jelas.

"Tapi, sekarang kami ingin menyuarakan dengan tegas bahawa kami menentang diskriminasi perkauman. Kami mengutuk keganasan dan tidak kira siapa juga, kita semua berhak dihormati. Kita perlu berganding bahu bersama," demikian kenyataan BTS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 6:46 AM