PERNAH tolak tawaran berlakon, Amaris mahu beri tumpuan pada aktiviti amal.
PERNAH tolak tawaran berlakon, Amaris mahu beri tumpuan pada aktiviti amal.
Najiy Jefri

MENJELANG ketibaan bulan Ramadan, pelakon Putra Amaris berhajat menghulurkan bantuan kepada 500 buah rumah keluarga asnaf dan 200 anak yatim serta tahfiz.

Sasaran terbabit diputuskan selepas membuat perbincangan bersama komuniti infaq terbabit dengan menyasarkan di kawasan Lembah Klang terlebih dahulu.

Namun sekiranya bantuan yang diterima daripada orang awam melebihi sasaran, Amaris bercadang menyumbang kepada petugas barisan hadapan.

"Sebelum ini saya ada terbabit dalam beberapa program amal dan mendapat tahu kos penyelenggaran rumah asnaf, anak-anak yatim dan tahfiz ini agak tinggi.

"Jadi, saya rasa mereka ini lebih memerlukan bantuan keperluan harian berbanding kita yang sudah mampu.

"Tidak lupa juga pada musim pandemik ini, kami turut berhajat membantu petugas barisan hadapan jika sumbangan yang diperoleh melebihi sasaran kami," katanya.

Program yang bermula pada 10 April depan, membolehkan orang ramai memberi infaq dalam bentuk wang ringgit ataupun barangan keperluan harian dan boleh hubungi secara terus di talian menerusi Instagram Putra Amaris.

Tambah pelakon berusia 35 tahun itu, menerusi program infaq Ramadan #samasamakenyang, dia turut bekerjasama dengan personaliti televisyen, Maria Tunku Sabri, Marcus Osmand serta isterinya, Nur Syazwani Alias.

AMARIS sasar bantu golongan memerlukan menerusi program infaq diperkenalkan.
AMARIS sasar bantu golongan memerlukan menerusi program infaq diperkenalkan.

"Antara sebab yang menjentik hati untuk membuat program ini apabila terfikir saya mampu makan sedap-sedap, tapi bagaimana pula dengan mereka yang tak ada kerja di luar sana, apa yang mereka makan?

"Lalu saya bercakap dengan isteri untuk membuat satu program yang boleh kita sama-sama kongsi rezeki. Biarpun bisnes yang saya uruskan dalam skala kecil, tapi saya nak bantu ikut kemampuan siapa sahaja yang datang berjumpa.

"Selain itu, kadang-kadang bila membuat sesuatu pekerjaan seperti ada yang tak berjalan dengan lancar, terfikir juga apa yang tak kena dan mungkinkah pada solat saya?

"Begitu pun, kalau saya dan isteri sahaja mungkin tidak mampu untuk melakukan infaq ini, jadi kami ajak rakan-rakan yang selalu bersama-sama dalam aktiviti amal sebelum ini," katanya.

Menjadikan Ustaz Ebit Lew sebagai idolanya, Amaris berharap inisiatif murni ini dapat meringan beban insan-insan yang memerlukan.

"Pihak kami tiada sasaran yang ingin diletakkan sebaliknya, kami hanya bergantung berapa jumlah sumbangan yang mampu terkumpul dan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

"Namun jika banyak syarikat swasta atau ahli perniagaan yang sudi menghulurkan sumbangan dalam bentuk pakej yang disediakan, kami percaya dapat membantu lebih ramai orang lagi.

"Malah menerusi pakej yang ditawarkan, ahli perniagaan atau syarikat yang menyumbang turut peroleh beberapa manfaat terhadap perniagaan yang mereka jalankan," katanya.

Menyentuh mengenai kerjaya lakonan, Amaris berkata dia mungkin akan memperlahankan kerjaya seni demi menguruskan program murni ini.

"Tidak dinafikan ketika peringkat awal untuk melakukan projek ini , tiba-tiba saya didatangi tawaran yang cukup lumayan, tapi saya anggap ia mungkin dugaan yang Tuhan berikan.

"Allah mahu menguji, adakah saya akan mengejar kemewahan atau terus fokus melakukan kebaikan ini?. Jadi, saya lepaskan peluang besar itu demi nak pastikan sasaran bantuan ini dapat dicapai," katanya.

Dalam perkembangan lain aktiviti seni lakonannya, pelakon itu memaklumkan dia bakal menjalani penggambaran drama bersiri di saluran Islamik, Salam HD terbitan A Aida Production.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 6:20 AM