NAD.
NAD.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Semua pelakon pernah melalui fasa menjadi 'pelakon kayu',".

Demikian kata pelakon, Nad Zainal ketika diminta mengulas mengenai isu pelakon baru yang kebanyakannya muncul dari media sosial dan dianggap sebagai 'pelakon kayu' atau tidak pandai berlakon.

Nad ketika ditemui pada majlis pelancaran Islamic Audio Device Mommy Hana semalam, berkata dia sendiri tidak pernah memandang rendah kemampuan lakonan pelakon-pelakon baru.

"Saya tak pernah lihat pelakon-pelakon baru sebagai ancaman atau bodoh. Bila kita berkawan dengan mereka, mereka akan jadi cantik di mata kita.

"Kalau kekurangan dalam lakonan, mesti akan ada. Tapi, mungkin mereka masih gementar. Ada yang meminta nasihat serta pandangan dan saya tak nafikan, ada pelakon senior yang tak mahu berkongsi.

"Tapi, apa yang saya belajar, sebagai pelakon, kita adalah satu pasukan dan bekerjasama," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Nad, dia juga melihat ramai pelakon 'method' sebenarnya senang untuk bergaul dengan sesiapa saja.

"Pelakon-pelakon yang dilabel sebagai pelakon 'method' kebanyakannya tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan tak kisah pun untuk berkawan dengan sesiapa saja.

"Tapi, takkan kita asyik nak tengok muka yang sama saja menghiasi slot di kaca TV. Jadi, bila peluang diberikan kepada pelakon-pelakon baru, saya harap mereka dapat buat yang terbaik," katanya.

Nad juga mengajak supaya semua pihak tidak perlu rasa iri hati kerana setiap orang ada perjalanannya sendiri.

"Sebenarnya, pelakon tak perlu rasa iri hati. Kita buat yang terbaik kerana semua orang ada perjalanan mereka sendiri. Bila diberi ruang dan peluang, kita harapkan agar mereka berikan terbaik.

"Kita juga janganlah mempertikai rezeki mereka. Jadi, kepada yang baru berlakon dan yang sudah lama berlakon, semua kena buat yang terbaik.

"Bakat itu daripada Allah. Kalau berlakon ala kadar dan karya yang keluar nanti kena kecam, kita juga yang akan berdepan dengan kecaman," katanya.

Isu mengenai pelakon baru yang rata-rata bergelar 'Instafamous' berlakon tanpa jiwa mula menjadi sebutan selepas pelakon, Izara Aishah menulis ciapan mengenainya di Twitter.

Terbaru, Nad kini menghitung hari untuk melahirkan cahaya mata keduanya yang dijangka pada 30 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 2:51 PM