SHAZA mengakui melakonkan watak antagonis lebih mudah.
SHAZA mengakui melakonkan watak antagonis lebih mudah.
Syafil Syazwan Jefri

CABANG lakonan menjadi ruang untuk seseorang pelakon mengekspresikan diri mereka menerusi karakter yang dilakonkan.

Bagi setiap pelakon, tentunya ada karakter yang mencabar dan terdapat juga karakter yang lebih mudah untuk dibawakan.

Pelakon, Shaza Bae yang kini mula menempa nama menerusi lakonan dalam beberapa naskhah drama berkongsi pendapatnya mengenai karakter yang dilakonkan.

"Kalau tanya pendapat saya, melakonkan karakter jahat (antagonis) lebih mudah berbanding karakter baik. Tapi, itu bergantung kepada bagaimana jalan cerita karakter itu juga," katanya.

Berkesempatan ditemu bual baru-baru ini, Shaza menjelaskan dengan lebih terperinci mengenai apa yang dimaksudkan mengenai keselesaannya melakonkan watak antagonis.

"Ada karakter baik yang boleh ditunjukkan secara luaran dan dalaman. Begitu juga dengan karakter jahat.

"Penat juga sebenarnya kalau nak menjadi 'baik' dalam karakter kerana banyak perkara yang perlu disimpan.

"Tetapi, bagi saya menerusi karakter jahat saya boleh berekspresi dengan lebih mendalam lagi," katanya.

Berkongsi mengenai karakter jahat, Shaza kini membintangi drama bersiri Marry Me Senorita dan memegang peranan sebagai Rosa Arabella.

Menariknya, watak itu digambarkan sebagai wanita yang 'gedik' namun ada sisi gelapnya.

"Untuk karakter ini, saya boleh keluarkan banyak perkara. Saya dapat luahkan perasaan dan emosi saya ke dalam karakter Rosa Arabella ini. Kepuasannya saya dapat rasakan 100 peratus.

"Bagi menjayakan karakter ini, saya ada melakukan beberapa rujukan antaranya karakter Liza Hanim dalam filem Laila Isabella.

"Selain itu, antara karakter yang menjadi rujukan saya adalah karakter Chanel Oberlin lakonan Emma Roberts dalam Scream Queens," katanya.

SHAZA rancang sertai kelas lakonan.
SHAZA rancang sertai kelas lakonan.

Berkongsi mengenai karier lakonannya yang semakin menyinar, Shaza meluahkan rasa syukurnya kerana namanya terus diterima baik oleh peminat drama tanah air.

"Alhamdulillah, orang dah mula terima keberadaan saya dalam industri dan kewujudan saya sebagai pelakon.

"Walaupun kerjaya seni saya agak perlahan, namun saya bersyukur kerana ada rezeki untuk saya menyumbang bakat.

"Dari segi lakonan, banyak lagi yang perlu saya belajar dan perbaiki. Insya-Allah, saya akan terus belajar," katanya.

Tidak mahu terus berada dalam zon selesa, Shaza merancang untuk menyertai kelas lakonan.

"Kalau ada peluang dan kesempatan, saya nak sertai kelas lakonan sebab saya nak keluar dari zon selesa.

"Walaupun saya sudah berlakon dua drama dan dapat maklum balas menggalakkan, saya sentiasa meletakkan diri saya di bawah," katanya.

Ditanya mengenai karakter yang diimpikan pada masa depan, Shaza menyimpan impian untuk memegang karakter pesakit autisme.

"Karakter komedi saya pernah cuba dalam Perempuan Tanpa Dosa. Tak terlalu sukar sebab dalam dunia nyata pun, saya memang jenis yang ceria.

"Jadi, saya teringin nak bawakan karakter yang lebih berat antaranya sebagai anggota polis atau mungkin sebagai pesakit autisme.

"Tentunya, menerusi karakter sebegitu, saya dapat menguji kredibiliti saya sebagai pelakon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 6:35 AM