BABAK seram dalam cerita ini.
BABAK seram dalam cerita ini.
Ridzuan Abdul Rahman


MASIH ramai yang bercakap mengenai drama fenomena Takdir Yang Tertulis yang berakhir tayangannya menerusi slot Samarinda TV3 pada 16 Februari lalu.

Bagaimanapun tidak terkecuali semakin ramai yang memperkatakan berkenaan drama pengganti slot itu, iaitu Aku Yang Kau Gelar Isteri.

Drama genre seram arahan Shuhaimi Lua Abdullah itu mula menemui penonton sejak 17 Februari dan akan berakhir 15 Mac ini dengan membariskan pelakon seperti Datuk Adi Putra, Sharifah Sakinah, Nadia Brian, Rashidah Jaafar, Aznah Hamid, Lana Nodin, Jasper Supayah, Zaki Azeman, Atiq Azman, Zahir Deck, Ferth Jasni, Rosli Rahman Adam dan ramai lagi.

Sejak tayangannya, penonton mula meluahkan perasaan benci mereka terhadap watak hitam Laila (Sharifah Sakinah) yang sanggup menggunakan kaedah mistik iaitu penggunaan sihir melalui bantuan Embun (Lana Nodin) untuk memporak perandakan hubungan Ezlan (Adi Putra) dan Raihani (Nadia Brian). Begitu juga watak Pak Leh yang amat berkesan lakonan Rosli Rahman Adam.

Tidak ketinggalan kecoh juga cerita mengenai luahan hati Shuhaimi sendiri apabila beberapa babak sensitif yang dihasilkan dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Shuhaimi dikatakan tidak sensitif apabila menampilkan babak cucuk susuk ke dalam alat sulit Laila. Dia bagaimanapun mengakui masih tahu sensitiviti agama Islam yang perlu dijaga.

"Jangan ingat saya 'belasah' sahaja ketika mengarahkan drama ini. Saya pernah belajar berkenaan perkara ini dalam bengkel anjuran Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) dan LPF," katanya.

Aku Yang Kau Gelar Isteri mengisahkan cinta tiga segi dan kasih tidak berbalas. Penceritaan drama ini bermula apabila gadis bernama Laila, jatuh cinta dengan Ezlan.

SHARIFAH Sakinah sebagai Laila yang menggunakan kaedah mistik untuk membalas dendam.
SHARIFAH Sakinah sebagai Laila yang menggunakan kaedah mistik untuk membalas dendam.

Namun, Laila kecewa apabila Ezlan memilih untuk berkahwin dengan Raihani. Laila kemudian membawa hatinya yang lara jauh dari kampungnya.

Akibat dendam, Laila menggunakan kaedah mistik iaitu penggunaan sihir melalui bantuan Embun.

Drama ini ternyata menarik minat pelakon hebat Fauzi Nawawi.

"Dari penceritaan drama ini saya nampak kejujuran dan kesungguhan pengarah dalam pembikinannya.

"Penatnya jangan cerita. Ketika orang lain sedap tidur, pasukan mereka masih lagi bekerja. Saya sendiri pun tak sanggup nak buat.

"Saya tabik pada pengarahnya yang selama ini saya sangkakan hanya bagus mengarah cerita drama berat saja. Tidak menjangka cerita seram arahannya pun mantap," katanya.

SHUHAIMI bersama Sakinah dan Lana Nodin.
SHUHAIMI bersama Sakinah dan Lana Nodin.

Menurutnya kejutan yang dibuat membuatkan penonton boleh terangkat dari kerusi ketika menonton.

"Jalan ceritanya menarik dan buat orang tertunggu-tunggu sampai habis tayangan. Tidak susah untuk memahami karya ini yang disampaikan secara terus.

"Lakonan semua pelakon memuaskan dan menepati jalan cerita. Masing-masing dengan cara lakonan sendiri.

"Saya sukakan drama ini dan secara jujurnya percaya Shuhaimi antara pengarah yang versatil yang mempunyai sentuhan listrik terhadap karya-karya yang tertentu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 6:35 AM