Shuk (kiri) bersama lelaki yang didakwa menterbalikkan gerai minumannya (kanan).
Shuk (kiri) bersama lelaki yang didakwa menterbalikkan gerai minumannya (kanan).
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Orang nak cakap dan anggap apa pun, biarlah. Apa yang penting saya mencari rezeki halal. Tiada apa yang saya nak komen lagi.

"Pada sesiapa yang kata saya cuba menipu dengan membuat drama untuk strategi pemasaran jualan itu, saya reda. Ini kerana kalau dijelaskan perkara sebenar pun, orang akan kata macam-macam juga".

Itu kata pelawak dan pengacara popular, Shuk Sahar mengenai dakwaan netizen mengatakan video seorang lelaki menterbalikkan gerai jualan minumannya, kelmarin adalah gimik promosi pemasaran jualan minumannya itu.

Shuk ketika dihubungi berkata, dia juga sudah saling bermaafan dengan lelaki terbabit.

Katanya, pendekatan bermaaf-maafan itu adalah langkah terbaik dilakukan kedua-dua pihak untuk tidak memanjangkan lagi perkara yang sudah berlaku.

"Alhamdulillah, semua sudah selesai dan kita ambil keputusan untuk berdamai saja. Malah, saya juga akan menurunkan video yang dimuat naik di media sosial sebelum ini. Kami berdamai pun atas keputusan bersama yang dibuat," katanya enggan menjelaskan butiran lelaki itu.

Kelmarin, tular di media sosial gerai jualan air 'viral' diusahakan Shuk bersama pembantu peribadinya, Iskandar Nurzaman di di Wangsa Maju diterbalikkan seorang lelaki yang berang selepas ditegur Iskandar kerana menyindir Shuk.

Insiden berlaku apabila pemuda itu mengeluarkan kata-kata berbaur provokasi dan bernada sinis serta mentertawakan Shuk yang perlu berniaga air di tepi jalan selepas ditamatkan kontrak sebagai penyampai radio kerana kesilapan sendiri.

Berikutan kejadian itu, Shuk terpaksa menanggung kerugian apabila dua tong air jualannya tertumpah hingga terpaksa menghentikan jualan lebih awal.

Menurut Shuk, kini dia amat bersyukur segala permasalahan yang berlaku sudah selesai.

Katanya, dia juga mahu fokus dengan perancangan perniagaan selain terus aktif dalam kerjaya seni.

Terdahulu, Shuk juga ada memuat naik video pendek berdurasi 45 saat membabitkan pertemuan dengan lelaki terbabit yang tampil berjumpa dengannya untuk memohon maaf di atas tindakan tidak matang dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Shuk memaklumkan dia akan terbabit semula dengan pertandingan Muzikal Lawak Superstar di Astro mewakili kumpulan MASHUK bersama Achey dan Mark Adam yang sebelum ini dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 11:20 AM