TV Alhijrah.
TV Alhijrah.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Stesen TV AlHijrah membawakan bacaan ayat suci al-Quran daripada barisan qariah Malaysia menerusi rancangan Gema Haflah Fatima Al Khattab, jam 9 malam ini.

Gema Haflah Fatima Al Khattab menampilkan enam qariah terbaik tempatan yang pernah menjuarai Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa dan Majlis Tilawah Al Quran Kebangsaan iaitu Sharifah Khasif Fadzilah (Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2009); Sofizah Mousin (Johan Qariah Majlis Tilawah Negeri Sabah 2013 dan 2015); dan Nor Ruzana Natiah Jaafar (Naib Johan Qariah Majlis Tilawah Al Quran Kebangsaan JAKIM 2017 & 2018).

Tiga lagi qariah ialah Normalina Alias (Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2017); Awatif Abd Majid (pemenang tempat ketiga Majlis Tilawah Al-Quran Kebangsaan 2019); dan Nur Farhatul Fairuzah Panut (Johan Qariah Majlis Tilawah Al-QuranAntarabangsa 2019).

Antara surah yang akan diperdengarkan adalah Surah al-Imran, at-Tahrim, an-Nisa, ar-Rum, an-Nahl, al-Ahqaf, an-Naml dan Maryam.

Tema Fatima Al Khattab dipilih bagi membawa penonton menelusuri kembali kisah keislaman Khalifah Umar Al-Khattab selepas mendengar bait al-Quran lantunan adiknya Fatima Al Khattab di suatu malam.

Keyakinan Fatima terhadap kalam al-Quran akhirnya membuka jiwa Umar untuk menerima cahaya llahi. Kekuatan Fatima adalah cerminan mukminah sejati yang harus diteladani dalam mempertahankan keyakinan dan keimanan kepada Allah.

Perkongsian kisah ini menerusi bacaan ayat suci al-Quran oleh semua qariah itu menjelaskan objektif penerbitan rancangan Gema Haflah iaitu untuk menyuburkan jiwa penonton menerusi bait ayat dan maknawi yang termaktub di dalam al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 12:39 PM