Shuk ketika bergandingan dengan Shuib dan Fizi sebagai penyampai Hot FM.
Shuk ketika bergandingan dengan Shuib dan Fizi sebagai penyampai Hot FM.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Saya okay dan terima keputusan Hot FM. Saya faham mereka punya bahagian," kata pelawak popular, Shuk Sahar mengenai penamatan kontraknya sebagai penyampai radio Hot FM yang berkuat kuasa hari ini.

Shuk, 35, atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar ketika dihubungi berkata, dia menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan beranggapan itu keputusan terbaik dibuat pengurusan stesen radio popular itu.

Bagaimanapun, Shuk ketika dihubungi belum bersedia untuk bercerita lebih lanjut dan meminta diberi sedikit ruang.

"Apa pun, keputusan yang dibuat ini adalah yang terbaik buat Hot FM. Jadi saya terima, cuma buat masa sekarang saya belum bersedia untuk bercerita lanjut. Beri saya ruang dalam tempoh sehari dua ini," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, pihak pengurusan Ripple mengumumkan perkhidmatan Shuk ditamatkan selepas tugasnya digantung sementara pada 24 Januari lalu.

Pengurus Besar Kumpulan Audiens & Pemasaran Ripple, Anida Mohd Tahrim dalam satu kenyataan berkata, hasil siasatan dalaman yang dibuat mendapati kontroversi membabitkan Shuk itu melanggar kontrak perkhidmatan.

Januari lalu, tular di media sosial mengenai pergolakan semula rumah tangga Shuk apabila isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah atau Sera membuat pendedahan berani di Instagram.

Menerusi beberapa perkongsian hantaran yang dimuat naik di media sosial itu, Sera mendedahkan Shuk masih lagi curang bersama wanita yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

Bagaimanapun, pada 8 Februari lalu Shuk sudah berbaik dan berjaya memujuk semula isterinya selepas membuat kejutan membawa rombongan meminang ke kediamannya.

Shuk juga mengakui kesalahan dilakukan dan dia menyesal. Malah, janjinya selepas apa yang berlaku dia mahu melakukan yang terbaik buat isteri, anak-anak dan keluarga.

Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, 1.

Berita berkaitan

  • Kontrak Shuk dengan Hot FM ditamatkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 2:13 PM