Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Bandi Amuk mengakui masih boleh menampung kehidupan ketika penularan Covid-19 dengan menggunakan wang simpanan yang ada.

Bandi, 57, atau nama sebenarnya Nasabandi Jumat berkata, dia bersyukur kerana sentiasa beringat untuk menyimpan 30 peratus wang pendapatan hasil daripada persembahan nyanyian sebelum ini.

"Selain itu, saya juga ada buat pembelian saham. Apabila saat genting, saya keluarkan saham selesaikan apa yang perlu seperti pembayaran yang tidak boleh ditangguh.

"Saya sebenarnya sasarkan nak selesaikan pembayaran penuh rumah dan kereta yang hanya berbaki empat tahun. Kalau boleh saya mahu selesaikan semua hutang sebelum berusia 60 tahun. Namun, sekarang dah jadi begini dan saya pasti ada hikmahnya," katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Bandi bersimpati dengan nasib rakan artis yang masih tidak mempunyai rumah sendiri dan hanya menyewa.

"Saya bukan bermaksud memperlekehkan mereka. Apabila menyewa sudah pasti kadar sewaan akan meningkat setiap tahun.

"Ketika bersama kumpulan Febians, royalti yang diperoleh saya gunakan untuk beli rumah kos sederhana. Syukur pinjaman sudah selesai. Selepas itu apabila bersama Amuk pula, rezeki saya lebih dan saya beli pula rumah yang lebih besar dan selesa. Saya akui syarikat rakaman EMI bagus dari segi pembahagian royalti," katanya.

Menurutnya, hasil pendapatan dalam bidang muzik boleh dimanfaatkan sebaiknya jika kena caranya.

"Saya memang kerap menasihatkan kawan-kawan jika ada duit belilah rumah. Ia satu pelaburan dan aset yang menguntungkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 5:09 PM