ERNIE teruja dan gembira lagu Sinar Mata Hati dapat dilancarkan.
ERNIE teruja dan gembira lagu Sinar Mata Hati dapat dilancarkan.
Sudirman Mohd Tahir


KETIKA drama bersiri Suri Katriana yang ditayangkan di saluran Astro Prima pada Oktober 2019, ramai tertanya-tanya terutama dalam kalangan peminat mengenai lagu tema nyanyian Ernie Zakri yang turut menjadi pelakon utama drama itu.

Peminat yang ingin mendengar lagu Sinar Mata Hati perlu menonton drama itu sehingga ke episod terakhir kerana ketika itu ia belum dilancarkan secara rasmi di platform muzik digital.

Selepas dua tahun, lagu ciptaan Helen Yap dan lirik oleh Roslen Fadzil itu akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini sekali gus merealisasikan impian peminat.

Apa yang menarik, buah tangan terbaharu daripada Ernie, 29, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri yang diterbitkan syarikat rakaman Universal Music Malaysia itu dihadirkan dengan lirik video rasmi yang ditayangkan hari ini, jam 9 malam di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Ernie yang juga finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) berkata, dia seronok kerana lagu itu dapat diperdengarkan kepada umum.

"Sinar Mata Hati adalah projek yang agak lama juga. Apabila dengar ia dapat dilancarkan secara rasmi kepada peminat, saya sangat gembira sebab mereka menantikan lagu ini menjadi single saya juga.

"Apa boleh dikatakan, ini masa terbaik lagu ini dilancarkan. Harapan saya bukan saja ia diterima baik, tapi menjadi bualan, siulan dan dendangan pendengar yang sentiasa menantikan lagu saya. Alhamdulillah, lagu ini sudah menjadi senarai lagu saya juga.

"Buat masa sekarang lagu ini hadir dengan video lirik dahulu. Video muzik belum ada perancangan nak buat bila. Ditambah pula sekarang masih tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tapi saya percaya akan dapat buat juga nanti. Insya Allah, akan datang," katanya.

Berkongsi mengenai perjalanan dan proses menghasilkan lagu itu, Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada AJL 32 berkata, lagu itu mencabar dari segi penghayatan dan emosi.

Malah, Ernie yang pertama kali bekerjasama dengan Helen dan Roslen mengakui bertuah kerana dapat menyanyikan lagu ciptaan mereka.

ERNI gembira lagu bakal dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Universal Music Malaysia.
ERNI gembira lagu bakal dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

"Bagi proses menghasilkan lagu ini boleh diberikan kredit kepada komposer dan penulis lirik. Dalam masa sama, perjalanan rakaman lagu pula amat mudah sebab mendapat kerjasama baik daripada mereka.

"Saya pernah bekerjasama dengan Helen, tapi bukan dalam studio. Selalu kalau dia menjadi pengarah muzik untuk program. Dengan Roslen pula ini kerjasama pertama kami. Proses rakaman lagu juga cukup mudah apatah lagi ketika itu saya juga sibuk menjalani penggambaran drama Suri Katriana dan dalam masa sama kena merakamkan lagu ini.

"Ia pengalaman sangat berharga kerana lagu ini agak mencabar. Walaupun tidak bernada tinggi atau memerlukan teknik vokal yang susah, tapi lebih kepada emosi yang agak berat. Bagi saya itu satu cabaran juga," katanya.

Bercerita mengenai lagu Sinar Mata Hati, menurut Ernie dia tertarik pada bahagian korus lagu yang dianggap sangat bermakna dalam kehidupan semua orang.

"Lagu ini adalah lagu tema drama lakonan saya iaitu Suri Katriana. Ini adalah drama pertama lakonan saya dan membawakan watak Suri. Ketika menjadi Suri, dia seorang gadis lemah lembut.

"Sama seperti dalam drama, lirik lagu ini juga menceritakan bagaimana ia penuh dengan dendam. Dia tahu dirinya salah, tapi tetap berdendam. Begitu juga dalam lirik lagu ini. Saya tertarik dengan korus, walaupun dia melakukan kesalahan tapi dia minta maaf. Cuma hatinya penuh dendam. Ini sedikit sebanyak mengenai lagu ini. Paling menarik saya berlakon dalam cerita ini dan menyanyikan sendiri lagu tema," katanya.

Sinar Mata Hati kini sudah tersedia di semua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 6:05 AM