DUA dari kiri Namanzee, Zulkifli, Abdul Aziz dan Ajib ketika melancarkan program KAFA d’HIJRAH.
DUA dari kiri Namanzee, Zulkifli, Abdul Aziz dan Ajib ketika melancarkan program KAFA d’HIJRAH.
Sudirman Mohd Tahir

Awal tahun ini genap setahun negara kita berhadapan dengan pandemik Covid-19. Wabak ini merubah landskap kehidupan yang memaksa masyarakat untuk hidup dalam normal baharu.

Tidak terkecuali amalan pendidikan negara. Tiada lagi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dibenarkan apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelbagai luahan dan coretan ibu bapa, guru serta pelajar di ruangan media sosial terhadap pendidikan normal baharu ini.

Isunya adalah sama. Semua bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran namun berhadapan dengan keterbatasan dalam menyediakan kemudahan yang diperlukan seperti alatan bersesuaian, ruang pembelajaran di rumah yang kondusif, kemudahan dan keupayaan akses internet yang stabil dan lain-lain.

ZULKIFLI berkongsi sesuatu mengenai KAFA d’HIJRAH.
ZULKIFLI berkongsi sesuatu mengenai KAFA d’HIJRAH.

Mengambil maklum dengan situasi semasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melancarkan rancangan KAFA d'Hijrah di TV AlHijrah sebagai Musaadah Covid-19 pendidikan.

Rancangan itu adalah pembelajaran Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di televisyen dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

"Usaha TV AlHijrah, JAKIM dan JAWI bekerjasama dalam program KAFA d'Hijrah adalah strategi baik yang bukan bersifat menandingi tapi mengisi kekurangan pedagogi moden pembelajaran waktu ini agar pelajar tidak tercicir dalam meneruskan proses pembelajaran ilmu agama," katanya.

KAFA d'Hijrah akan disiarkan di saluran TV AlHijrah bermula 1 Februari pada setiap Isnin hingga Sabtu, bermula jam 4.30 petang hingga 5 petang. Manakala siaran ulangannya pula adalah pada jam 11.30 pagi dan 6.30 petang.

Zulkifli turut menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi atas usaha dan cetusan idea TV AlHijrah, JAKIM dan JAWI yang dilihat amat bertepatan pada waktu ini dalam mengalirkan ilmu kepada anak-anak di rumah.

Dia turut berpesan agar ibu bapa yang berkelapangan untuk menonton siaran KAFA d'Hijrah bersama anak-anak agar ilmu tersebut dapat didalami bersama seisi keluarga.

Turut hadir pada majllis pelancaran program itu adalah Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Namanzee berkata TV AlHijrah bersedia memikul tanggungjawab menerbit serta menyiar rancangan KAFA d'Hijrah bagi mengisi kelompongan sesi pembelajaran di rumah pada waktu ini yang disebabkan keterbatasan kemudahan seperti capaian internet, komputer riba dan telefon bimbit.

"Buka sahaja televisyen, guru-guru berkelayakan akan menyampaikan ilmu buat semua. Minggu pertama Februari adalah minggu pembelajaran bab satu al-Quran buat pelajar darjah 1 hingga darjah 6. Diikuti subjek ibadah pada minggu kedua, sirah pada minggu ketiga dan jawi serta Khat pada minggu terakhir Februari.

SUASANA di belakang tabir KAFA d’HIJRAH.
SUASANA di belakang tabir KAFA d’HIJRAH.

"Manakala subjek bahasa Arab akan disiarkan pada minggu pertama Mac dan diikuti subjek akidah pada minggu kedua Mac sehingga selesai pembelajaran untuk bab satu. Minggu berikutnya masuk kepada bab dua dan aturan ini akan diulang pada minggu-minggu seterusnya.

"Ini adalah jihad ilmu. Kita mestilah saling bergandingan usaha dan tenaga membantu pelajar KAFA ini. Kita mula dulu dengan peringkat sekolah rendah dan kita berhasrat untuk lebarkan skop pembelajaran kepada peringkat menengah juga.

"Kita tidak mahu anak-anak kita berada dalam keadaan ketidaktentuan serta teraba-raba kerana kelompongan kelas dalam talian. Oleh sebab itu, kita pohon semua pihak samada guru, pelajar mahupun ibu bapa untuk memberikan sokongan kepada rancangan ini dan jadikannya sebagai medium pembelajaran yang memudahkan," katanya.

TV AlHijrah turut membuka peluang serta menyeru rakan-rakan korporat untuk turut sama menjayakan misi KAFA d'Hijrah dengan menjadi rakan penaja rancangan ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 6:12 AM