Wady bersama pemuzik jalanan menyediakan barangan keperluan untuk disumbangkan kepada mereka yang terjejas.
Wady bersama pemuzik jalanan menyediakan barangan keperluan untuk disumbangkan kepada mereka yang terjejas.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Prihatin dengan nasib menimpa pemuzik jalanan sepenuh masa, Kelab Pemuzik Jalanan Malaysia (MYBC) mengaktifkan tabung untuk membantu mereka.

Presiden MYBC, Wady Hamdan berkata, inisiatif diambil sejak setahun lalu bagi membantu pemuzik yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, ia sedikit sebanyak dapat menyalurkan bantuan berupa barangan asas untuk jangka masa pendek.

"Ini inisiatif MYBC sendiri yang mengumpulkan dana daripada orang perseorangan dan syarikat korporat untuk membantu 4,000 pemuzik jalanan atau buskers sepenuh masa ini.

"Ada yang terpaksa melakukan pelbagai kerja, menjual peralatan kerana sebelum ini mereka hanya bergantung kepada muzik sebagai punca pendapatan.

"Setakat ini dana yang ada terlalu kecil dan tidak dapat menampung jumlah mereka yang ramai," katanya kepada Harian Metro.

Wady berkata, sejak pelaksanaan PKP pertama pada Mac tahun lalu, golongan buskers antara terkesan teruk kerana tidak dibenarkan membuat persembahan, tiada majlis perkahwinan serta acara yang biasanya menggunakan khidmat mereka.

Menurutnya, pihaknya meminta kerajaan melihat isu ini kerana ia membabitkan jumlah ramai.

"Selain bantuan, mungkin platform strim yang disediakan kerajaan boleh membantu.

"Sekurang-kurangnya buskers boleh menjana pendapatan mereka. Sebelum ini bila diumumkan kami dapat membuat persembahan seperti biasa, ia satu berita gembira.

"Namun bila PKP kedua ini, boleh dikatakan semua hilang pendapatan," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun 100040226055 (Affin Bank) atas nama Kelab Penghibur Jalanan Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 3:54 PM