DOLLA menyampaikan bahagian rap dalam lagu ini.
DOLLA menyampaikan bahagian rap dalam lagu ini.
Sudirman Mohd Tahir

Demi membangkitkan semangat dalam usaha memerangi penularan pandemik Covid-19, syarikat rakaman, Universal Music Malaysia dan Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) bekerjasama untuk menghasilkan single terbaharu berjudul We Care.

Kolaborasi istimewa itu adalah satu inisiatif yang memberikan perlindungan wabak Covid-19 dan manfaat penjagaan kesihatan percuma kepada pelanggan Allianz Malaysia dan mereka yang bukan pelanggan.

Lagu itu dipersembahkan secara eksklusif oleh penyanyi dwibahasa terkenal Malaysia iaitu Alvin Chong, kumpulan pop meningkat naik, Dolla, bintang pop Thai-German, Jannine Weigel dan penyanyi lagu Mandopop Malaysia, Nicole Lai.

Menariknya, Lai yang menandatangani kontrak bersama Universal Music pada Oktober tahun lalu turut menyumbang sentuhan kreatifnya dengan menulis lirik Mandarin dalam projek pertama bersama itu. Single We Care juga adalah lagu pertama bagi semua anggota Dolla untuk menyerlahkan bakat rap mereka.

Lagu itu diinspirasikan daripada situasi pandemik tahun lalu yang mana mengubah kehidupan seluruh dunia. Malah, sokongan sesama masyarakat adalah sangat penting pada masa ini.

Oleh itu, lagu ini diharapkan dapat memperkukuhkan semangat pendengar untuk terus cekal dan tabah.

Pengarah Kanan Perniagaan Baru dan Selebriti 360 Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, kerjasama itu diharap dapat menginspirasi orang ramai untuk tidak berputus asa dalam menentang pandemik dan terus menyokong satu sama lain dalam tempoh sukar ini.

"Kolaborasi ini adalah strategi kreatif pertama yang mengetengahkan bakat artis kami dalam menyalurkan kekuatan kepada orang ramai terutama dalam masa yang tidak menentu ini. Menerusi suara mereka dalam lagu khas yang dihasilkan penerbit muzik bertaraf 'multi-platinum', Bryan B, dengarkan single terbaharu ini di platform penstriman digital (DSP) pilihan anda," katanya.

ALVIN Chong teruja menyumbangkan suara dalam lagu We Care.
ALVIN Chong teruja menyumbangkan suara dalam lagu We Care.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Joseph Gross berkata, pihaknya sentiasa meneliti peranan mereka dalam kehidupan pelanggan.

"Sebagai penanggung insurans, kami sentiasa meneliti peranan kami dalam kehidupan pelanggan. Matlamat Allianz We Care Community adalah untuk memupuk dan membina komuniti inklusif yang berdaya tahan dalam menangani situasi mencabar dan sentiasa ada bersama rakyat Malaysia ketika mereka memerlukan bantuan.

"Lagu We Care adalah salah satu inisiatif baharu yang diilhamkan daripada aspirasi untuk memupuk semangat positif dalam masa yang tidak menentu ini," katanya.

JANNINE Weigel seronok dalam kolaborasi ini.
JANNINE Weigel seronok dalam kolaborasi ini.

Selain lagu itu, kerjasama kedua-dua pihak juga akan membawa kepada penganjuran program larian maya dan konsert siaran langsung yang bakal diadakan pada April depan. Hasil daripada kutipan larian maya itu akan disalurkan kepada organisasi amal.

Diterbitkan Universal Music Malaysia, lagu itu sudah dilancarkan di platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan Deezer sejak 15 Januari lalu.

LAI turut diberi peluang bekerjasama.
LAI turut diberi peluang bekerjasama.

Bagi merancakkan lagi lagu itu, muzik video rasmi ditayangkan pada Februari depan. Dengan itu, Universal Music Malaysia dan Allianz Malaysia memberikan peluang kepada dua pemenang istimewa untuk tampil dalam muzik video itu bersama keempat-empat penyanyi berkenaan.

Justeru, kisah Covid-19 anda boleh dikongsikan di (http://umusic.digital/sharethecare/) dan berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada bintang muzik video lagu We Care.

Semua peserta juga akan menerima perlindungan Covid-19 percuma di bawah Allianz We Care Community, tertakluk kepada terma dan syarat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 6:30 AM