Kavita Sidhu
Kavita Sidhu
Georgie Joseph


Pelakon Kavita Sidhu, 49, mengakui terkilan dan sedih terhadap isu tular mengenai kecantikannya yang dibandingkan dengan pelakon veteran Norlia Ghani, 72.

Menurut Kavita, perbandingan yang dibuat secara sengaja dan berbentuk penghinaan itu sangat tidak berhemah sekali gus membuatkan dirinya rasa tak keruan.

"Berbanding masa yang lain, sekarang kita sepatutnya berbuat baik sesama-sendiri. Rasa sangat teruk apabila membaca ciapan mengaitkan saya dan Norlia Ghani yang menjadi tular sekarang.

"Tolong berhenti merendahkan sesiapa. Hormatilah dia sebagai senior, bintang filem veteran, dan ibu kepada seseorang. Hentikan ulang ciap penghinaan terhadap wanita," katanya.

Pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam itu akhirnya mengutarakan isu terbabit menerusi Instagram selepas sebuah ciapan membabitkan mereka berdua menjadi tular.

Menurutnya, warganet sepatutnya menunjukkan rasa empati dan meletakkan diri sendiri pada situasi itu yang ternyata melukakan pihak keluarga Norlia.

"Bagaimana jikalau warganet cakap perkara yang menghiris mengenai ibu, ibu saudara, rakan kamu? Tolong jaga tata percakapan kita. Norlia adalah ibu kepada sahabat saya," katanya.

Terdahulu, kecoh di Twitter mengenai sebuah ciapan yang membandingkan kecantikan Kavita dengan Norlia. Meskipun ia berniat memuji Kavita, sebaliknya disampaikan dengan cara kurang berhemah.

Ciapan itu berbunyi,"Kavita Sidhu umur 49. Korang umur 30 dah rupa Norlia Ghani."

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 4:02 PM