SHUIB susun semula kerja supaya lebih teratur.
SHUIB susun semula kerja supaya lebih teratur.
Ridzuan Abdul Rahman


PELBAGAI spekulasi hangat diperkatakan apabila penyampai radio dan pelawak, Shuib mengumumkan pengundurannya sebagai penyampai radio Hot FM bermula Sabtu ini.

Tidak terkecuali, kehilangannya dalam program Sepahtu Reunion Live 2020 kebelakangan ini pula dikatakan kerana 'digam' selepas terbabit dalam satu episod yang mencetuskan kontroversi.

Bagaimanapun, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, menolak segala persepsi liar yang dilemparkan kepadanya.

Katanya, alasan yang paling utama ketika membuat keputusan itu ialah dia mahu berehat seketika dari dunia seni yang menaikkan namanya kepada masyarakat.

"Semua orang bebas bercakap apa sahaja, tapi belum tentu ada kebenarannya. Keputusan saya, bukan kerana terbabit dengan kontroversi sepanjang tahun lalu.

"Sebenarnya saya memang nak berehat sekejap dari bidang seni kerana nak fokus pada cabang perniagaan.

"Ketika perniagaan dalam proses berkembang maju ini, apa salahnya saya korbankan seketika karier seni bagi mengejar impian sebagai usahawan berjaya," katanya menerusi temu bual khas bersama media secara maya pada Isnin lalu.

Shuib yang juga suami penyanyi, Siti Sarah Raisuddin bagaimanapun mengakui sukar mengagak berapa lama tempoh berehat untuk kembali semula dalam dunia seni.

"Mustahil saya nak berundur dari dunia seni kerana bidang ini adalah sesuatu yang saya suka dan minat.

"Tapi, buat masa ini tumpuan saya adalah untuk fokus kepada perniagaan Bubblebee terlebih dahulu.

"Cuma, sekarang saya mula sedar saya perlu menyusun semula kerja supaya lebih teratur," katanya.

Menurutnya, kerjaya sebagai penyampai radio memerlukan dia bangun seawal jam 4 pagi dan kadangkala perlu berada di stesen radio sehingga petang.

"Tak dinafikan ia ada kala buat saya jadi kelam- kabut terutama yang membabitkan Bubblebee. Itu akhirnya buat saya bertindak undur diri dari Hot FM.

"Tak sangka apabila saya buat pengumuman nak berhenti, baru saya tahu ramai sebenarnya peminat sukakan celoteh saya di situ.

"Apapun saya meletakkan sasaran mahu mencapai 100 cawangan Bubblebee di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak pada tahun ini dan akan berusaha keras merealisasikannya," katanya.

Dalam pada itu, Shuib juga menubuhkan Yayasan BubbleBee yang memfokuskan kepada kerja kebajikan.

"Ia (yayasan) sudah mula beroperasi sekarang. Selain itu, saya juga nak beri lebih perhatian kepada Bubble Studios.

"Bagi Bubble Studios pula lebih tertumpu kepada kerja produksi dan talent (bakat) serta menghasilkan kandungan digital," katanya.

Terdahulu Shuib pernah menyertai Sinar FM selama dua tahun sebelum mengundurkan diri. Namun, dia kemudian menyertai Hot FM pada Februari 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 6:22 AM