ANJI
ANJI
Agensi

Jakarta: Penyanyi Anji, 42, tidak bersetuju apabila seorang pengikutnya di Instagram meminta dia mewujudkan gerakan anti vaksin memandangkan terdapat segelintir rakyat Indonesia menolaknya.

Anji berkata, mendapatkan suntikan vaksin adalah hak masing-masing dan ramai yang bergantung harap terhadapnya untuk menangani virus Covid-19.

"Saya tidak bersetuju tolak vaksin. Kenapa? Kerana banyak masyarakat berharap. Kerajaan juga sudah berusaha. Kalau anda tidak mahu vaksin, itu hak anda. Namun, untuk membuat gerakan atau demonstrasi itu hal lain. Sudahlah, jangan jadikan rakyat berhentam sesama rakyat. Kalau tidak mahu, ya itu hak anda tapi jangan hancurkan harapan orang lain," katanya.

Anji menyedari bahawa semua masyarakat pastinya ingin masalah Covid-19 dapat diatasi. Justeru, dia tidak mahu orang ramai berpecah-belah hanya kerana isu vaksin.

"Kita semua sama-sama penat. Semua ingin selesai dan keluar. Tidak usah kecoh-kecoh. Nanti tambah penat. Jalankan saja apa yang diyakini," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan penyanyi lagu Dia itu selepas pengikut bertanya kenapa Anji tidak buat gerakan anti vaksin. Individu itu turut mendakwa vaksin berbahaya dan mendedahkan saudaranya lumpuh disebabkan vaksin.

Terdahulu, Anji pernah mencetuskan perdebatan apabila menolak normal baharu. Dia juga menegaskan bahawa sesetengah orang tidak mahu bersuara sepertinya kerana tidak mahu 'diserang' orang yang berbeza pendapat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 2:31 PM