MAKIN dapat banyak peluang, Aniq tekad memberi hasil kerja terbaik.
MAKIN dapat banyak peluang, Aniq tekad memberi hasil kerja terbaik.
Norhayati Nordin

Walaupun baharu tiga bulan menceburi kerjaya seni, finalis Hero Remaja 2020 dikenali Aniq Suhair, 20, kini semakin menjadi perhatian ramai terutama peminat wanita.

Apa yang pasti, bakat lakonan Aniq begitu menyerlah dan bersinar kerana dia sudah mendapat peluang membintangi tiga drama untuk tayangan TV3 serta satu filem.

Menurut Aniq, dia bersyukur dengan rezeki diperolehnya itu dan mengakui jadual kerjanya sekarang terlalu padat. Malah, masa untuk berehat pun hanya sehari dan ia digunakan sebaik mungkin.

"Setakat ini, jadual kerja agak padat sehingga tiada masa rehat. Kalau cuti pun, sehari sahaja dan saya habiskan dengan tidur sepuas-puasnya di rumah. Saya juga menghabiskan masa bersama keluarga.

"Saya seronok dengan kerjaya ini dan tak sangka dapat peluang berlakon. Kini, saya tekad untuk berusaha menimba ilmu dan pengalaman hingga menjadi seorang pelakon berjaya suatu hari nanti. Selain itu, saya juga bersyukur mendapat sokongan positif daripada peminat. Terima kasih menerima kehadiran saya dalam industri ini dan terus memberikan sokongan padu," katanya.

Menurut Aniq, memandangkan pengalamannya yang masih 'hijau', dia belum menemui rasa kepuasan. Masih terlalu awal untuk mengungkapkan perasaan itu.

"Baru tiga bulan, jadi apalah sangat pengalaman dan ilmu lakonan yang saya ada. Masih banyak perlu diperbaiki kerana ada pelbagai kelemahan harus saya atasi lagi.

"Bagaimanapun, saya gembira bakat lakonan ini semakin mendapat perhatian dan peluang. Saya sematkan semangat di hati untuk memberi hasil kerja terbaik," katanya.

Aniq yang turut mendapat perhatian di media sosial berkata, dia juga bersyukur jumlah pengikutnya di Instagram juga sudah melebihi 200,000 dan ia dirasakan cukup ramai.

Selain Instagram, Aniq juga memiliki akaun Twitter dan Tik Tok seiring dengan perkembangan teknologi masa kini membuatkan pengaruh media sosial begitu luas.

Bersedia menerima kritikan daripada netizen, Aniq berkata, dia seorang profesional. Lagipun tidak semua kritikan ditulis netizen di media sosial itu bersifat buruk dan dia hanya ambil pendekatan positif.

"Saya selesa tenang- tenang sahaja. Jadi, kalau ada kritikan itu, saya takkan terlalu memikirkannya sangat. Malah, saya juga tak cepat melatah. Biarlah, apa mereka nak kata dan kritik.

"Apa yang penting, ahli kelab peminat saya tahu perkara sebenar. Buat masa ini, kebanyakan peminat saya memang mereka memberi sokongan dan banyak kata-kata semangat yang membina," katanya.

Menurut Aniq, sekalipun dia pernah dikait dengan cerita sensasi bersama Cik B ketika membintangi drama Lelaki Lingkungan Cinta, namun peminatnya tidak marah-marah dan mereka tahu itu sekadar gosip.

Selain Lelaki Lingkungan Cinta, dua lagi drama lakonan Aniq ialah Kebaya Kasut Kanvas dan terbaharu, Tak Sempurna Mencintaimu untuk slot Akasia. Manakala, filem pula Aniq membintangi Banglo Seksyen 12 arahan Intan Ladyana dan Dharma Nasution.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 6:45 AM