Georgie Joseph


MENYIMPAN cita-cita menjadi bintang filem sejak kecil, Hariz Hamdan, 18, kini mengorak langkah menjayakan impian itu.

Bukan sekadar omong kosong, hakikatnya dia mahu pastikan akan bergelar pelakon yang berjaya.

Hariz atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan kini mempersiapkan dirinya menjadi pelakon berkualiti. Dia cuma mahu meninggalkan impak dan legasi tersendiri suatu hari nanti.

Walaupun masih terlalu muda, visinya cukup jelas untuk menjadi pelakon sehebat Bront Palarae, Amerul Affendi, Shaheizy Sam dan Henry Golding. Remaja kelahiran Selangor ini mengidam untuk mengukir nama besar sebagai pelakon suatu hari nanti.

"Sejak kecil, saya memang sudah minat menjadi bintang filem. Setiap minggu, saya akan menonton sekurang-kurangnya sebuah filem yang kebanyakannya filem hebat dari Hollywood termasuk Forrest Gump, The Godfather dan Inception.

"Paling saya kagum adalah filem berkonsepkan adiwira dan aksi lasak. Saya memang sangat teruja dengan filem sebegitu dan mengimpikan peluang untuk melakonkan karya sebegitu," katanya.

Memulakan misi menjadi pelakon menerusi penyertaan dalam pertandingan Hero Remaja 2020, Hariz tidak menunggu lama mencuri peluang berlakon.

Namun, dia tidak mahu menjadi pelakon yang biasa. Dia mengakui ilmu lakonan sangat penting dan menjadi asas utama sekiranya ingin berjaya serta pergi jauh dalam industri lakonan.

Oleh itu, dia mengambil pelbagai inisiatif sendiri untuk mengasah bakat lakonan dalam dirinya.

"Saya juga ada hadiri beberapa kelas lakonan, namun disebabkan kosnya agak mahal, saya tak teruskan buat masa ini. Namun, sekarang saya lipat gandakan usaha untuk belajar sendiri dengan menonton lebih banyak filem," katanya.

Dengan usianya masih terlalu muda, semestinya mencabar buat Hariz menceburi dunia seni. Apatah lagi, pada era sekarang kehidupan artis terlampau terdedah dengan kuasa media sosial.

Dia mengakui dalam proses menyesuaikan diri dengan gelaran artis dan berazam menjaga reputasi diri sebaik-baiknya. Dia sedar waktu muda memang penuh pancaroba, namun sedia mengorbankan gelora remajanya demi kebaikan.

"Fasa muda ini adalah fasa banyak kesilapan boleh dibuat. Ketika muda inilah terlalu banyak cabaran, namun saya sendiri menetapkan untuk takkan mudah berkongsi mengenai hal peribadi.

"Memang terbit juga rasa rugi tidak menikmati zaman muda yang sepatutnya menjadi fasa untuk meneroka banyak perkara baharu. Tapi itulah, apabila menjadi figura awam, banyak pro dan kontranya. Demi memastikan saya tidak melakukan perkara tidak elok, saya sentiasa mendapatkan nasihat dan pandangan daripada keluarga. Maklumlah, keluarga sentiasa mahukan yang terbaik dan berusaha tunjukkan sisi baik kita," katanya.

Berkongsi perkembangan kerjaya lakonannya, cita-cita Hariz berlakon filem bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, saya bakal menjalani penggambaran filem seram pada Januari nanti. Tawaran lakonan yang saya dapat juga sangat konsisten dan akan sibuk di set penggambaran sehingga Mac," katanya.

Dalam pada itu, Hariz juga menyatakan hasratnya menjadi pembaca berita sekiranya ada peluang. Dia mengakui sangat menyanjung kerjaya itu yang baginya cukup mengagumkan.

"Saya sebenarnya berminat menjadi pembaca berita juga kerana memang dari dulu suka melihat orang baca berita. Untuk pengacaraan, saya akui berminat juga, namun saya perlu kaya dengan ilmu serta gaya percakapan yang menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 6:30 AM