Dr Fitri Haris
Dr Fitri Haris
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi nasyid yang juga pensyarah, Dr. Fitri Haris yang membuat kajian mengenai muzik nasyid di Malaysia menjelaskan suara wanita bukanlah haram sebagaimana sangkaan ramai pihak.

Kajian bertajuk This Is Nasyid itu dimuat naik menerusi program bersiri This Is Nasyid bersama Dr. Fitri Haris yang ditayangakan di saluran YouTube Fitri Haris Official, semalam.

Hasil kajian itu juga bakal diterbitkan dalam buku dan akan mula dipasarkan pada tahun hadapan

Dr. Fitri, 36, yang kini dikenali sebagai Dr. Pit berkata, suara perempuan bukan aurat tetapi haram pada keadaan-keadaan tertentu. 

"Saya bukanlah orang yang selayaknya untuk bercakap, tapi saya ada sedikit ilmu yang boleh dikongsikan kepada semua. Suara perempuan bukan aurat. Ini berdasarkan daripada jumhur ulama iaitu guru-guru atau tokoh-tokoh Islam dari zaman Nabi lagi, ternyata suara perempuan bukan aurat.

"Ada wanita yang menjadi guru,  mengajar dan sebagainya. Jadi suara itu bukan aurat. Tapi suara itu boleh jadi haram seandainya digunakan untuk menggoda.

"Terdapat perdebatan mengatakan wanita mengaji berlenggok itupun haram. Ada ulama berkata begitu. Apatah lagi menyanyi lagu-lagu yang memang niat lenggoknya digunakan untuk menggoda, untuk meningkatkan nafsu dan buat orang lelaki rasa tak tenteram," katanya. 

Menurutnya, apabila menaikkan nafsu, boleh jatuh hukum haram. 

"Memang tak boleh. Hukum tetap hukum. Terpulanglah pada kita untuk ikut atau tidak.

"Saya nak tegaskan suara perempuan bukanlah aurat tetapi haram pada keadaan-keadaan tertentu. 

"Apa yang dikatakan menggoda ini turut  membabitkan lirik dan penampilan wanita itu. Banyak sebenarnya yang boleh dihuraikan tapi saya bukan ahli fekah," katanya.

Juara Gema Gegar Vaganza musim kedua ini berkata, kajian yang dilakukannya mendapat kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Dana Kandungan Digital serta sokongan SCIMPA, UUM dan Munsyid Malaysia.

Kajian itu dihasilkan dalam tempoh tiga bulan, selain pemerhatian yang dibuat selama antara empat hingga lima tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 2:07 PM