Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Mereka diuji dan saya juga pernah diuji," kata penyanyi nasyid popular Dr Fitri Haris, 36, mengenai isu pendakwah selebriti yang berkelakuan negatif.

Juara Gema Gegar Vaganza musim kedua ini berkata, warganet memberi tumpuan terhadap isu itu kerana mereka pendakwah.

"Itulah kata kuncinya. Saya bukan nak buat perbandingan. Memang ada kes di luar sana yang lebih teruk, tapi kerana mereka pendakwah, menyampaikan benda yang baik, apabila berlaku ujian kepada mereka, orang akan pandang dan jadi tumpuan utama.

"Namun, kita jangan lupa bahawa pendakwah juga manusia biasa. Mereka bukan robot yang diprogramkan," katanya yang ditemui pada sidang media This is Nasyid di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini.

Fitri juga pernah berdepan ujian apabila tiga perkahwinannya sebelum ini berakhir dengan perceraian.

Dia juga pernah mengakui hatinya tertutup rapat untuk berkahwin semula dan trauma apabila memikirkan alam berumah tangga.

Bagaimanapun, dia memilih mengahwini pengurusnya sendiri, Fazilah Omar, 33, tahun lalu.

Fitri yang kini ingin dikenali sebagai Dr Pit menjelaskan, agak sukar untuk mengatasi perkara terbabit memandangkan persepsi warganet sudah sedemikian rupa.

"Kita tak boleh buat apa. Kalau orang kata pendakwah diuji, saya rasa kita diuji oleh warganet. Kehidupan kita sekarang sebenarnya diuji oleh warganet. Sebabnya ia membabitkan adab. Kalau tengok, adab dan akhlak warganet sekarang agak teruk apabila membabitkan teknologi. Ia seperti satu kejutan budaya. Kita kena didik orang sekarang ini. Mereka kena bijak bezakan peribadi dengan fakta," katanya.

Menurutnya, warganet perlu melihat kebaikan yang disampaikan oleh pendakwah tetap perlu disebarkan, manakala yang buruk tidak perlu disebarkan.

Dalam perkembangan lain, Fitri kini diberi tanggungjawab untuk mengkaji berkenaan muzik nasyid di Malaysia dengan kerjasama ditawarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Dana Kandungan Digital (DKD).

Dia turut mendapat sokongan daripada SCIMPA, UUM dan Munsyid Malaysia.

Program ini akan menemui peminat menerusi saluran YouTube Fitri Haris Official bermula 18 Disember ini, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 5:39 PM