BAGI Muhamad Razin, penganjuran ANAM 2020 akan beri manfaat pada lebih 300 penggiat industri.
BAGI Muhamad Razin, penganjuran ANAM 2020 akan beri manfaat pada lebih 300 penggiat industri.
Norhayati Nordin


KEPELBAGAIAN muzik di Malaysia memberi peluang kepada pendengar memilih genre kesukaan mereka.

Selain pop, rock, balada, R&B serta hip hop, muzik berkonsep nasyid dan kerohanian juga ada penggemarnya.

Malah, penggiat seni lagu nasyid dan berunsur kerohanian turut diberi pengiktirafan melalui penganjuran Anugerah Nasyid Malaysia 2020 atau dikenali sebagai ANAM 2020.

ANAM 2020 bakal dianjurkan Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid) dengan sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan RTM sebagai penyiar rasmi.

Acara meraikan penggiat seni nasyid ini disiarkan secara langsung di TV1 pada 27 Disember ini jam 9 malam.

Sebanyak 11 kategori dipertandingkan dengan enam kategori dinilai juri profesional, manakala tiga kategori lagi melalui undian peminat.

Ini termasuk dua kategori Anugerah Khas Juri penghargaan buat artis tempatan dan satu lagi membabitkan artis nasyid dari Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura.

ANAM

2020 adalah salah satu langkah awal ke arah penganjuran Festival Nasyid Antarabangsa Malaysia pada tahun depan sejajar status negara sebagai 'The Home of Contemporary Nasyeed' di persada dunia.

Menteri KKMM, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, industri nasyid Malaysia sudah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan di pentas dunia sejak awal kemunculannya walaupun kurang diberi perhatian sebelum ini.

"Artis nasyid kita sudah diundang membuat persembahan merentasi pelbagai benua, malah ada yang tersenarai dalam 500 Muslim berpengaruh di dunia. Jadi sudah tiba masanya kita membangunkan potensi yang ada pada industri nasyid tempatan.

"Dalam soal ini, ia bukan sahaja mampu mengharumkan nama negara, tetapi turut membawa impak pada ekonomi dalam jangka panjang melalui pelbagai sektor hiliran membabitkan industri pelancongan, industri halal dan industri muzik itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al Bakri berkata, adalah impiannya untuk melihat industri nasyid tanah air kembali bangkit seperti pada awal kemunculannya.

"Saya melihat nasyid sebagai satu cabang kesenian Islam yang bukan sahaja menawarkan hiburan sihat dan mendidik masyarakat, tetapi berperanan sebagai salah satu instrumen dakwah yang berkesan khususnya bagi generasi muda masa kini.

"Melalui penganjuran ANAM 2020, ia akan menggalakkan penghasilan karya nasyid berkualiti secara berterusan, sekali gus menghidangkan masyarakat dengan hiburan yang mendidik jiwa, ada mesej positifnya dan nilai murni yang diharapkan dapat membentuk masyarakat Malaysia dan dunia yang bersatu padu serta sayang-menyayangi antara satu sama lain," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ANAM 2020 merangkap Presiden Munsyid Malaysia, Muhamad Razin Che Mud berkata, pihak aktivis nasyid tanah air amat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan serta perhatian yang diberikan kerajaan kepada pembangunan serta perkembangan industri nasyid negara.

"Ini kali pertama industri nasyid Malaysia mendapat sokongan besar daripada kerajaan. Apatah lagi, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang cukup memberi kesan kepada penggiat industri nasyid dan muzik secara keseluruhannya," katanya.

Muhamad Razin berkata, penganjuran ANAM 2020 akan memberi manfaat kepada lebih 300 penggiat industri secara langsung dan tidak langsung sama ada penyanyi, pemuzik mahu pun pekerja di belakang tabir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 6:28 AM