WANY Hasrita bebas dari Covid19. FOTO arkib NSTP
WANY Hasrita bebas dari Covid19. FOTO arkib NSTP
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Wany Hasrita meluahkan rasa syukur apabila kebanyakan artis dan kru produksi Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SFMM35) yang membuat ujian saringan Covid-19 di Pusat Perubatan Management & Science University (MSUMC), Shah Alam mendapat keputusan negatif.

Wany yang juga bekas penuntut Management & Science University (MSU) berkata, dia bersama pembantu peribadi Nur Anisah menghubungi pensyarahnya untuk mendapatkan bantuan dan maklumat terkini. 

"Selepas mendapat perkhabaran penyanyi Alif Satar disahkan positif Covid-19 Ahad lalu, saya menghubungi pensyarah saya. Dia yang membantu untuk uruskan ujian swab dan menghubungkan kami dengan doktor di MSUMC. Anisah juga banyak membantu saya dan semua yang hadir ke MSUMC untuk menjalani ujian saringan. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan," katanya.

Difahamkan, seramai 69 individu terbabit dengan SFMM35 yang menjalani ujian saringan di situ memperoleh keputusan negatif. 

Menurut Wany, walaupun ujian yang diperoleh negatif, namun dia menasihatkan semua orang berada dalam keadaan baik dan selamat. 

"Mereka yang menjadi kontak rapat haruslah menjalani kuarantin dan menjalankan ujian swab yang kedua. Masih terlalu awal dan semuanya boleh terjadi. Jadi, langkah berjaga-jaga haruslah diambil. Saya berdoa supaya segalanya dipermudahkan dan semuanya akan terus kekal negatif. Insya-Allah," katanya. 

Terdahulu di saingan SFMM35, Wany mempertaruhkan dua lagu iaitu Canggung yang dipertandingkan di hari pertama serta Belenggu Rindu, duet dengan Datuk Jamal Abdillah yang sepatutnya bersaing di hari ketiga, Ahad lalu.

Pusingan ketiga SFMM35 ditunda kerana salah seorang penyanyi yang bertanding, Alif Satar disahkan positif Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 4:14 PM