SHEILA RUSLY
SHEILA RUSLY
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penerbit JS Pictures Sdn Bhd, Sheila Rusly memaklumkan drama terbaharu terbitannya, Penjara Janji yang menjalani penggambaran di Melaka terpaksa dihentikan semalam, susulan pelakon utamanya iaitu Alif Satar disahkan positif Covid-19.

Sheila berkata, sebaik memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya mengarahkan penggambaran drama terbabit ditangguhkan dan kesemua pelakon serta pekerja produksi diminta pulang.

"Seramai 25 selebriti dan pekerja produksi terbabit untuk penggambaran drama ini di Melaka. Jika mengikut jadual, esok adalah hari terakhir selepas 12 hari mereka 'berkampung'.

"Bagaimanapun, semalam Alif dihubungi oleh bapanya yang memaklumkan individu yang ditemui pada 17 November lalu positif Covid-19. Selepas memberitahu perkara itu kepada KKM, penggambaran terpaksa dihentikan serta-merta.

"Malah pekerja produksi dan pelakon lain yang terbabit diminta pulang ke rumah masing-masing dan perlu menjalani kuarantin di rumah. Bagaimanapun, KKM sudah mengenal pasti kesemua kontak rapat dengan Alif dan tindakan susulan akan diambil oleh KKM dengan segera.

"Sepanjang tempoh 17 November sehingga semalam, Alif hanya terbabit di set penggambaran ini sebanyak dua hari saja iaitu pada 19 dan 21 November. Ujian saringan masih dilakukan, meski pun pihak kami sudah melakukan beberapa ujian saringan sebelum ini.

"Malah, sebelum pekerja produksi dan pelakon berangkat ke Melaka pun, mereka sudah menjalani ujian saringan kerana enggan perkara tidak diingini berlaku. Namun, tak sangka mesyuarat yang dihadiri Alif pada Selasa lalu membuatkan dia dijangkiti wabak berkenaan," katanya.

Menurut Sheila, sepanjang proses penggambaran dilakukan pihaknya mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan mengambil setiap data, termasuk mengesan tahap suhu badan setiap pekerja produksi dan pelakon setiap hari.

"Pihak kami sudah memberi nama pekerja produksi dan pelakon yang terbabit bersama Alif bermula 17 November kepada KKM. Kami juga sudah mengarahkan kepada semua yang terbabit untuk tidak keluar rumah sehingga pihak KKM menghubungi mereka.

"Soal penggambaran, bakinya hanya tinggal sekitar 10 peratus sahaja dan masalah ini boleh ditangani selepas semuanya kembali pulih. Tiada apa nak dikejarkan, kerana tayangan drama ini pun awal tahun depan.

"Jingo (suami) dan Uzair Haqimy (anak) saya yang terbabit dengan penggambaran ini sudah berada di rumah sejak awal pagi tadi dan sedang menjalani proses kuarantin di bilik masing-masing. Mereka tidak dibenarkan keluar dan makanan pun dihantar depan pintu bilik oleh pembantu saya," katanya.

Selain Alif, drama arahan Jinggo yang bakal ditayangkan di slot Samarinda TV3 pada tahun 2021 itu turut dibintangi Azira Shafinaz, Zulin Aziz dan Esma Daniel.

Berita berkaitan

  • Alif Satar kini kuarantin di Melaka
  • Alif Satar sah dijangkiti Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 7:37 PM