SYAMSUL dan Puteri Sarah. FOTO Puteri Sarah
SYAMSUL dan Puteri Sarah. FOTO Puteri Sarah
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Dia (Syamsul) tahu sebab apa saya keluar rumah dan dia juga tahu sebab apa saya 'dingin'."

Itu kata pelakon, Puteri Sarah, 35, sekali gus mengakui sudah dua bulan tidak tinggal sebumbung dengan suami yang juga pengarah terkenal, Syamsul Yusof.

Puteri Sarah berkata, tiada sebab untuk dia berbuat sedemikian sekiranya 'masalah' yang paling ditakuti dalam perhubungan rumah tangga tidak berlaku.

Namun, Puteri Sarah atau mesra disapa Sarah enggan berkongsi lanjut 'masalah' dimaksudkannya itu.

"Apabila keluar cerita sebegini, saya percaya ada pihak lain yang suka. 

"Dalam perkara ini, saya tidak mahu dianggap punca terhadap apa yang berlaku sekarang. Tentu saja sebagai lelaki, suami dan ketua rumah tangga dia perlu bertanggungjawab di atas semuanya. Itu yang saya harapkan," katanya.

Ditanya sejauh mana kebenaran perkongsian di Instagram Story baru-baru ini mengenai kisah curang dan orang ketiga dalam perkahwinan berlaku pada dirinya, Sarah juga enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini, tapi cukup untuk saya katakan ada 'masalah' yang wujud dalam rumah tangga kami," katanya.

Ditanya lagi sama ada 'masalah' itu membabitkan orang ketiga, ini jawab Sarah.

"Soalan ini kena tanya pada dia," katanya ringkas.

Bagaimanapun, Sarah berkata walau apa pun yang terjadi sekarang dan selepas ini, dia masih menyayangi perkahwinan mereka yang sudah dibina sejak enam tahun lalu.

"Tiada siapa mahukan masalah dan perpisahan. Saya tetap berdiri di belakang dan menyayangi dirinya sebab dia adalah syurga saya," katanya.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 3, dan Sumayyah, setahun lapan bulan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 5:19 PM