AISHAH
AISHAH
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Aishah mengakui dia hampir pitam ketika menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu pada peringkat Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) episod kedua, semalam.

Kehadiran Aishah menggantikan Siti menyanyikan lagu OST drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu memberi satu kejutan kepada ramai pihak, namun Aishah memberitahu dirinya hilang keseimbangan sewaktu membuat persembahan.

"Tidak tahu sama ada saya terlalu fokus, penat atau kurang makan. Tetapi ketika mula-mula menyanyi, saya angkat kepala sahaja terus rasa berpusing. Kepala saya pening dan badan saya rasa terhuyung hayang dari 'verse' pertama dan kedua.

"Mungkin kerana terlalu fokus dan tarik nafas terlalu dalam sehingga saya merasakan sudah hilang keseimbangan badan ketika itu.

"Dalam hati saya berkata ' Ya Allah saya tak nak buat sejarah pitam di atas pentas'. Saya tak tahu bagaimana masih mampu menyanyi dalam keadaan yang sebegitu. Alhamdulillah, saya dapat habiskan lagu dan saya tak hilang keseimbangan," tulisnya di Instagram.

Menurut Aishah, tugas yang digalas tidak semudah yang disangka dan ia satu pengalaman yang cukup menakutkan. 

"Terima kasih Allah. Satu pengalaman yang sangat menakutkan. Adakalanya, memang mudah mengkritik tetapi tugasnya bukanlah semudah yg disangkakan. 

"Cakaplah apa saja yang anda mahu. Penyampaian tak sampailah, hanya sekadar legend saja, tapi penyanyi sebenar yang saya menyanyikan lagunya menerima persembahan saya," katanya 

Tidak ketinggalan, Aishah juga menulis tanda pagar #taipmemangsenang pada hantaran yang dibuatnya itu.

Berita berkaitan

'Terima kasih Kak Aishah…'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 12:21 PM