Hael Husaini
Hael Husaini
Sudirman Mohd Tahir

 

Lagu Hati ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong nyanyian Hael Husaini dipilih menjadi Lagu Terbaik pada separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) episod pertama yang berlangsung malam tadi.

Pada saingan itu, Hati berentap dengan 10 lagu lain. Antaranya, Sembah (Naim Daniel dan Iqie Hugh); Curang (Syamel dan Aepul Roza); Sebentar( Faizal Tahir, Mike Chan, Mage dan Romeo); Takkan Merubah (Farouk Roman dan Amylea) dan Canggung (Hael Husaini dan Ezra Kong).

Lima lagi lagu adalah Gundah (Ernie Zakri dan Sharon Paul), I Want You To Love Me (Faizal Tahir, Ezra Kong, Romeo dan Mike Chan), Kelabu (Yonnyboii), Khayal (Hang Nadim, Bunga Cantik dan Ziin) dan Gila (Noki, Loca B dan Ezra Kong).

Pemenang Lagu Terbaik pada setiap episod membawa pulang baucer WOW Shop RM1,000.

Hael berkata, dia terkejut dan tidak menjangka lagu itu dipilih juri.

"Kebanyakan yang membuat persembahan malam ini adalah kawan-kawan saya dalam industri dan sangat baik. Semua sudah melakukan persembahan sehabis baik untuk peminat dan lagu yang dibawa.

"Alhamdulillah, rezeki berpihak pada saya malam ini. Jadi, terima kasih kepada juri yang mengangkat lagu ini sebagai Lagu Terbaik. Saya pun tak jangka dan terkejut. Alhamdulillah, inilah rezeki saya. Peminat janganlah marah. Ini adalah rezeki. 

"Kalau tanya kenapa lagu saya, tak tahu kenapa juri pilih lagu ini. Sebab kesemua lagu ada kekuatan tersendiri," katanya.

Ditanya mengenai saingan, Hael menyifatkan pertandingan ini adalah lebih kepada meraikan komposer dan penulis lirik.

"Saingan, saya jenis tak suka bersaing dengan orang. Bagi saya separuh akhir lebih kepada meraikan komposer, penulis lirik dan penyanyi. Kita bersatu bagi menjayakan program untuk menghiburkan orang.

"Apa yang terjadi, menjadi pilihan atau tidak, kena letak tepi. Paling penting kami buat persembahan untuk mereka yang sudah banyak menyokong kami semua," katanya.

SFMM 35 menampilkan pasangan pengacara Sherry Al Hadad dan Haziq.

Pertandingan yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam itu diadakan secara normal baharu iaitu tanpa kehadiran penonton.

Episod kedua dan ketiga bakal berlangsung esok dan Ahad, jam 9 malam  secara langsung di TV3.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 12:22 AM