ADY Wow bersama keluarganya.
ADY Wow bersama keluarganya.
Ridzuan Abdul Rahman

Kota Kinabalu: Penyanyi kumpulan rock era 1990-an, Ady Wow, 53, bersama isteri, Fadizah Jiran dan anak bongsu mereka, Nurhadira, 8, yang disahkan positif Covid-19, Khamis lalu melahirkan kebimbangannya dengan peningkatan pandemik Covid-19 yang semakin teruk di Sabah.

Ady yang menjalani kuarantin di rumah bersama anak, Nurhadira, bagaimanapun dikejutkan dengan kehadiran kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan kediamannya pagi ini.

"Assalamualaikum kawan-kawan. Apa khabar semua? Harap semua sihat. Entahlah, di Sabah Covid-19 macam cendawan tumbuh.

"Baru sekejap tadi rumah jiran bahagian depan dikunjungi kakitangan KKM. Keadaan dah teruk di sini, dan dah tak boleh dibendung. Beribu-ribu orang kena dalam masa sehari," katanya menerusi kiriman WhatsApp.

Ady berkata, terdapat ramai individu yang positif, tetapi tidak tahu dia adalah penghidap Covid-19.

"Kita pun tak tahu status mereka dan yang dah ada (kena) merata-rata kat sini sehinggakan KKM tak cukup kakitangan, manakala hospital dah penuh.

"Yang mana kena kuarantin di rumah, kenalah buat ikut arahan dan yang mana positif tapi tak tahu dirinya positif, ke hulu ke hilir macam biasa," katanya.

Ditanya keadaan terkini kesihatannya, Ady bersyukur kerana masih bertahan.

"Saya makan vitamin dan tiada yang teruk lagi setakat ini. Nafas dan suhu okay. Anak bongsu yang berada di rumah pun okay.

"Isteri yang ditahan di wad unit jangkitan paru-paru di Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu pun masih bertahan.

"Harapnya kami kuat semangat. Saya masih lagi tunggu keputusan ujian terhadap anak sulung, Nadhirah Nadja, 11, samada positif atau sebaliknya," katanya.

Nadhirah menjalani ujian swab dibuat oleh kakitangan KKM yang hadir ke rumahnya.

"Keputusan mungkin dapat pada Selasa ini kerana terpaksa tunggu giliran, sebab ramai yang kena buat ujian swab.

"Ini dugaan Allah buat kami. Sebagai ketua keluarga, saya kena kuat," katanya.

Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan Ady mengaku dia dan keluarga sah dijangkiti pandemik Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 November 2020 @ 3:19 PM