LANCARKAN kempen ‘30 Days of WOW bagi meraikan penjenamaan semula dengan rancangan harian di TV9 dan 8TV
LANCARKAN kempen ‘30 Days of WOW bagi meraikan penjenamaan semula dengan rancangan harian di TV9 dan 8TV
Sudirman Mohd Tahir

Rangkaian beli-belah dari rumah, WOWSHOP kini berwajah baharu dengan lebih rasa wow untuk pengalaman beli-belah dari rumah yang hebat.

Dengan lebih dari dua juta pelanggan dan lebih daripada 6,000 episod yang sudah disiarkan, penjenamaan semula ini tepat pada waktunya kerana WOWSHOP Sdn Bhd (dulu dikenali sebagai MP CJ ENM Sdn Bhd) kini dimiliki sepenuhnya oleh Media Prima Berhad (MPB) yang memperoleh baki pegangan untuk segmen beli-belah dari rumah, lalu menjadikannya anak syarikat penuh kumpulan media ini.

Bagi meraikan kelahiran semulanya dengan All New WOW, WOWSHOP melancarkan kempen '30 Days of WOW.

Kempen ini bermula pada 1 hingga 30 November ini dengan rancangan harian di TV9 dan 8TV yang memaparkan pelbagai promosi serta hadiah istimewa dan mata ganjaran tunai yang menambah nilai kepada setiap pembelian pelanggan sepanjang promosi ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WOWSHOP, Yang Hyun Kim berkata, pihaknya sentiasa memberikan pembaharuan bagi membantu pelanggan berkembang jauh.

"WOWSHOP dibangunkan untuk menjadi kuat dan tangkas serta ia juga adalah jenama yang pantas memahami keperluan pelanggan. Kami sentiasa berevolusi bagi membantu pelanggan berkembang jauh dalam hidup untuk masa depan yang lebih baik dan cemerlang.

"Saya sangat gembira untuk melancarkan jenama yang baharu ini kerana yakin ia mampu bertindak sebagai pembeli peribadi pelanggan dan akan terus membawakan lebih banyak kebahagiaan serta tentu sekali lebih banyak senyuman ke dalam hidup mereka," katanya.

Pelanggan yang menonton siaran TV9 pada jam 9.30 pagi setiap hari dan membuat pembelian ketika siaran langsung akan menerima hadiah eksklusif The WOWSHOP Bag (selagi stok masih ada).

Sementara itu, pelanggan yang menonton 8TV pada jam 11.30 pagi dan membuat pembelian dalam talian semasa siaran langsung pada waktu yang sama akan menerima WOW CASHBACK tambahan sebanyak enam peratus di samping lima peratus WOW CASHBACK sedia ada.

WOWSHOP serba baharu akan membawakan lebih banyak senyuman kepada pelanggan demi memperkukuhkan kehadirannya di pasaran runcit dan perdagangan.

Ia bertujuan untuk memberikan pelanggan pengalaman yang lebih WOW dan interaktif melalui kandungan, produk dan pelbagai perkhidmatannya.

Dalam masa sama, WOWSHOP juga akan bekerjsama dengan syarikat induknya, MPB melalui kempen penjenamaan semula holistik MPB dan akan mendapat liputan di seluruh program popular rangkaian televisyennya seperti Wanita Hari Ini, Borak Kopitiam, Melodi, Nona, MBuzz, Living Delight, dan Majalah 3.

Turut dicipta ialah lagu tema berjudul Hidup Mesti Ada WOW atau Tian Tian Jing Chai Tian Tian WOW yang ditulis oleh Audi Mok, Datuk Ahmad Izham Omar, Shazee Ishak, Tilla Hanna, Hong Joon Sim dan Ong Yin Yin (Melissa) yang akan dimainkan di stesen radio Ripple Media iaitu One FM, Fly FM, Hot FM dan Kool FM untuk melebarkan lagi jangkauan WOWSHOP.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 6:46 AM