Alif Muhaimin.
Alif Muhaimin.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Alif Muhaimin mengakui sedang menjalin hubungan rapat dengan seorang wanita yang dikenali ramai di aplikasi TikTok sejak April lalu.

Alif berkata, hubungannya dengan wanita itu adalah penguat semangat untuk dia mencari rezeki selain tidak menolak andai jodohnya sampai awal. 

"Saya akui sedang berkawan dengan seseorang. Apabila sudah bercinta mestilah mahu ke fasa yang lebih serius. Jadi memang mahu ke arah itu. Kalau nak difikirkan, usia saya pun sudah mencecah 26 tahun. Selain berlakon saya juga giat usahakan perniagaan kek batik untuk kumpul duit.  Insya-Allah kalau ada rezeki lebih, mana tahu selepas ini boleh untuk masuk meminang," katanya.

Menurut Alif, dia belum bersedia untuk berkongsi secara terperinci mengenai wanita yang sedang bertakhta di hatinya itu. 

"Apa yang boleh saya katakan, Dia bukan pelakon, cuma dia sering muat naik video TikTok dan agak dikenali menerusi platform berkenaan. Kalau ada yang mengikuti saya di media sosial, agaknya mungkin sudah boleh teka. Pernah juga kami muat naik video bersama. 

Saya suka dengan sikapnya yang cukup mementingkan keluarga. Dia menjaga ibunya dan tinggal bersama adik. Saya serius dalam hubungan ini, tapi apapun kita yang merancang tapi Dia yang menentukan," katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 8:11 PM