PENYANYI, Afieq Syazwan bersama kelab peminat ketika siri jelajah ABPBH 32 di Aman Sentral Alor Setar, Kedah tahun lalu. FOTO ARKIB NSTP
PENYANYI, Afieq Syazwan bersama kelab peminat ketika siri jelajah ABPBH 32 di Aman Sentral Alor Setar, Kedah tahun lalu. FOTO ARKIB NSTP
Georgie Joseph


Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-33 dalam norma baharu menjalinkan kerjasama dengan TikTok dan buat julung kalinya memperkenalkan kategori khas untuk menghargai kelab peminat menerusi laman aplikasi TikTok.

Video kelab peminat yang meraih undian tertinggi akan dinobatkan Anugerah FC #FANtastik Popular. Sebanyak 24 kelab peminat mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Sebahagian besar kelab peminat itu mewakili artis bertanding dalam pelbagai kategori pada ABPBH 33 serta aktif menjayakan kempen ABPBH sejak beberapa tahun lalu.

Pengarang Hiburan BH merangkap Pengarah Jawatankuasa Penganjur ABPBH 33, Shamshul Azree Samshir berkata, ia adalah sebagai penghargaan kepada kelab peminat yang sentiasa setia menyokong industri seni tanah air sekali gus memainkan peranan penting dalam memartabatkan penganjuran ABPBH untuk kekal relevan selama lebih tiga dekad.

"Sesuai dengan norma baharu pada masa ini, kami bekerjasama dengan TikTok untuk memberi ruang dan peluang kepada kelab-kelab peminat menunjukkan kreativiti masing-masing dan meneruskan sokongan terhadap artis kesayangan melalui laman TikTok," katanya. 

Menurut Shamsul, penganjuran kali ini akan dipastikan meriah namun masih dijalankan mengikut segala arahan pihak berwajib.

"Bertepatan dengan tema #ABPBHKITA2020, BH sentiasa memastikan segala aktiviti dan promosi penganjuran ABPBH tahun ini selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan. Kami juga akan sentiasa mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Bagi memeriahkan lagi penganjuran ABPBH 33, peminat juga boleh berkongsi video TikTok paling kreatif menggunakan lagu Xiaomi, Xiaomi For Me yang dinyanyikan Yonnyboii dan Shalma Eliana. 

Video paling kreatif bersama gaya tarian yang ditetapkan dengan hashtag #ABPBHKITA2020 dengan capaian paling tinggi berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik daripada Xiaomi.

Tarikh penyertaan dan undian boleh dilakukan di laman aplikasi TikTok bermula 21 Oktober lalu hingga 8 November ini.

Sejarah juga pastinya bakal tercipta buat ABPBH 33 kerana acara ini menjadi program anugerah berprestij pertama di Malaysia disiarkan secara langsung menerusi laman aplikasi TikTok pada13 November ini.

Mempertandingkan 13 kategori utama dan lima kategori dalam talian, pemilihan artis popular masih lagi terbuka sehingga 8 November ini menerusi laman web ABPBH 33 di  www.abpbh.com.my. Maklumat lanjut dan informasi terkini ABPBH 33, boleh ikuti laman sosial Facebook dan Instagram BH.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 5:41 PM