FENDY Bakry.
FENDY Bakry.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Fendy Bakry menyarankan mereka yang menyimpan impian untuk menjadi pelakon supaya sentiasa mencari ilmu. 

Menerusi perkongsian di Instagram, Fendy menekankan mengenai betapa pentingnya persediaan sebelum menjadi pelakon. 

"Persediaan perlu ada. Apabila menjadi pelakon, hari demi hari kena belajar sebab ilmu itu takkan pernah cukup.  Pergilah ke kelas, sertai persatuan teater sampai kena Google nak cari persatuan teater sebab nak timba ilmu. Jadi, kalau ada sesiapa yang berhasrat nak jadi pelakon, pertama sekali, carilah ilmu, kemudian baru fikir sama ada nak teruskan cita-cita itu atau tidak," tulisnya. 

Dalam perkongsian itu juga, pelakon kelahiran Perlis itu juga berkongsi mengenai realiti kehidupan sebagai pelakon dan kisah perjalanan kariernya yang bermula dari bawah. 

"Bila berjumpa, orang akan tanya, ada 'job' kosong. Mereka ingat, kita ada syarikat produksi. Kita pun orang bagi 'job'.  Ramai orang nak jadi pelakon sebab mereka tengok fikir macam menyeronokkan, tapi realitinya tak ramai yang tahu. Nak jadi pelakon tak senang. Saya pun ambil masa tujuh tahun untuk berjuang," tulisnya. 

Menurutnya, dia bermula sebagai pelakon tambahan dan menapak perlahan-lahan melalui proses perjalanan karier sebagai pelakon. 

"Dari pelakon tambahan bawa gelas dengan tangan menggeletar, kemudian terima watak pelakon pembantu dan seterusnya barulah watak utama. Watak utama pun, tak semua saya ambil. Bukan berlagak, tapi kadangkala tak yakin untuk memberi yang terbaik," tulisnya. 

Perkongsian itu menerima lebih 4,000  tanda suka daripada pengikut-pengikutnya di platform media sosial itu. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 5:44 PM