EZURIN (tengah) bersama Magie Abang Saufi dan seorang anaknya.
EZURIN (tengah) bersama Magie Abang Saufi dan seorang anaknya.
Najiy Jefri

Jika sebelum ini program realiti, The House diserikan dengan kemunculan selebriti tempatan dengan menampilkan trio adik-beradik Emma Maembong, Chacha Maembong dan Yaya Maembong pada musim pertama.

Musim kedua dan ketiga menyaksikan kehidupan jutawan kosmetik Datuk Seri Vida serta keluarga Rozita Che Wan sehinggalah pembabitan Fattah Amin dan Alvin Chong (musim keempat), bintang BBNU daripada program Big Stage iaitu Sarah Suhairi, Wani Kayrie dan Sissy Imann untuk musim kelima.

Terbaharu, pada musim keenam ini Astro membuat kelainan dengan menampilkan ikon fesyen berpengaruh dan sosialit terkenal iaitu Ezurin Khyra sebagai tetamu baharu program berkenaan.

Siapa sangka, selepas hampir setahun menunggu mendapatkan persetujuan Ezurin dalam program terbabit, akhirnya Ezurin atau lebih dikenali sebagai Princess E menyatakan persetujuan.

Ezurin berkata, apa yang membuatkan beliau bersetuju untuk berkongsi mengenai ikatan erat kekeluargaan bersama putera dan puteri kerana semua mereka berada di Malaysia pada ketika itu.

"Anak saya belajar di London, jadi disebabkan pandemik Covid-19, mereka pulang ke Malaysia. Jadi, disebabkan itu saya bersetuju menyertai The House semasa mereka semua berada di sini.

"Lagipun, program ini akan lebih lengkap sekiranya saya berkongsi kehidupan saya bersama anak dan bapa mereka dalam satu kehidupan," katanya.

Biarpun The House bakal membuka sedikit ruang privasi kehidupan peribadi Ezurin, beliau menganggap apa yang dipertontonkan dapat memberi mesej yang positif kepada penonton.

"Rasanya kehidupan peribadi saya ada sedikit sudah saya kongsikan di Instagram. Namun saya harap apa dipaparkan dalam The House dapat memberi sesuatu yang positif kerana mesej utama terbabit dalam program ini adalah menyampaikan sesuatu yang baik.

AKSI penggambaran yang mengambil masa selama 30 hari.
AKSI penggambaran yang mengambil masa selama 30 hari.

"Anda kena tonton dulu program ini dan akan lihat sisi kehidupan berbeza saya dan latar belakang saya," katanya.

Kata Ezurin yang sangat terkenal dengan penampilan fesyen ekstravaganza, beliau turut berkongsi momen ketika penggambaran apabila sanggup membawa pelbagai koleksi pakaian untuk menampilkan gaya berbeza dalam program berkenaan.

"Kalau tanya pasal baju, saya akan tukar tiga kali sehari, macam kita ambil makanan, ada waktunya. Saya memang sudah terbiasa menukar pakaian dalam sehari.

Kalau ikutkan dalam program ini, boleh dikatakan tak terkira berapa banyak baju yang saya bawa untuk jayakannya," katanya.

Bukan saja pakaian, Ezurin juga tampil dengan gaya yang sangat berbeza pada setiap babak dijalankan di sekitar Hulu Langat selama 30 hari.

Selain Ezurin, program ini turut menampilkan kelima-lima anaknya iaitu Tunku Amaan Khyra, Tunku Nadya Khyra, Tunku Omaan Khyra, Tunku Imaan Khyra dan Tunku Rmaan Khyra.

Rakan karibnya, Magie Abang Saufi juga turut bersama-sama menjayakan program yang sudah masuk musim keenam.

Sementara itu, Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah berkata, pengisian The House musim keenam adalah lebih relevan dan menepati cita rasa penonton masa kini.

"Memasuki musim keenam tahun ini, jenama The House sebagai sebuah kandungan hiburan santai alaf baharu membuktikan pengisian yang diperkenalkan adalah relevan dan menepati cita rasa penonton masa kini.

"Dengan kadar purata tontonan digital lebih enam juta untuk setiap musim meletakkan The House antara program yang paling ditunggu-tunggu.

"Setiap tahun, The House menampilkan nama popular yang mempunyai pengaruh kuat di media sosial. Menerusi kriteria itu, kami tampilkan pula 'Princess Ezurin' berserta cahaya mata kesayangan dan rakan karib, Magie yang dilihat mampu melonjakkan nilai komersial program ini," katanya.

The House akan bersiaran selama 10 episod di platform televisyen menerusi saluran Astro Ria(124) dan Astro Ria HD (104) bermula 21 Oktober 2020, setiap Rabu, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 6:30 AM