FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Georgie Joseph

Pihak panggung wayang tempatan kini mengambil pelbagai inisiatif bagi menjana pendapatan selepas operasi di beberapa lokasi ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

Inisiatif itu termasuk penjualan cendera hati dalam dan luar talian, penjualan makan untuk penghantaran, pembukaan restoran, penganjuran acara dan persembahan.

Pengurus Perhubungan Awam dan Jenama Golden Screen Cinemas (GSC), Sharmine Ishak berkata, inisiatif itu penting bagai menyesuaikan operasi dengan norma baharu sekarang selain demi kelangsungan pendapatan.

"Pada era sekarang, amat penting untuk panggung wayang berinovasi, berdapatasi dan mempelbagaikan tawaran supaya boleh bertahan dengan perubahan dalam norma baharu apabila semua panggung wayang ditutup di semua lokasi itu diarah tutup ketika ini. Ia memang memberi kesan kepada kami.

"Bagaimanapun, kami cuba mengurangkan kerugian itu dengan menawarkan penghantaran makanan, menjual cendera hati menerusi Keepsake, membuka restoran Jin Gastrobar serta merancang untuk membuka kafe di cawangan GSC selepas ini. Misi kami adalah untuk menjadikan GSC sebagai kuasa media yang kukuh jenamanya serta terus dipercayai pelanggan. Kami mahu luaskan jaringan perniagaan dengan semua industri," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Awam Jualan dan Pemasaran TGV Cinemas, Mohit Bhargava berkata, mereka juga mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi membantu menangani krisis dihadapi industri panggung wayang.

"Kami kini aktif dalam dialog bersama kerajaan dan masih berharap mendapat bantuan bagi memulihkan krisis menimpa kami. Kami sentiasa terus berhubung, berbincang dan bekerjasama untuk ke arah pemulihan itu. 

"Apabila panggung wayang dibuka pada 1 Julai lalu selepas tiga bulan ditutup, kami sudah mencatat kerugian yang sangat besar. Ketika keadaan sudah semakin pulih, PKPB yang terbaru ini kembali mengehadkan operasi kami.

"Penutupan dan pembukaan semula perniagaan panggung wayang sememangnya sangat membebankan. Ia menelan kos tinggi, mengganggu operasi serta urusan dengan pembekal dan pelanggan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 2:13 PM