DIBARISI anggota yang cukup berpengalaman luas dalam bidang muzik.
DIBARISI anggota yang cukup berpengalaman luas dalam bidang muzik.
Ridzuan Abdul Rahman

BERDIRI atas nama sebuah projek gabungan beberapa ahli daripada kumpulan Lying Kisses dan Rocktone sehingga mewujudkan nama Secret Agenda.

Kumpulan yang diasaskan pada 2014 ini perlu berbangga kerana dibarisi anggota yang cukup berpengalaman luas dalam bidang muzik.

Selepas melalui pelbagai fasa perubahan ahli, Secret Agenda kini dibarisi Mohd Firzdaus Anuar sebagai penyanyi, Shahrul Rizal Hadzir (gitar), Mohd Ramlan Razali (gitar), Mohd Yazid Che Ros (bass) dan Khairil Anuar (drum).

Kumpulan yang berpaksikan muzik groove metal ini kini mampu berbangga kerana berjaya mengeluarkan album berjudul Resurrection Day selepas empat tahun ditubuhkan.

Shahrul yang lebih dikenali sebagai Chaown berkata, muzik mereka yang menjurus kepada heavy/power groove metal lebih tertumpu kepada American Metal.

"Ia diterima baik oleh peminat kami. Biarpun mengalami beberapa perubahan anggota, alhamdulillah album ini berjaya juga dikeluarkan. Secret Agenda terlebih dahulu merakam dua lagu yang dikeluarkan dalam format single dan diedarkan ketika persembahan sulung kami di sebuah gig yang berlangsung di Pennylane Studio, Sunway Mentari pada 2014.

"Bertitik tolak dari situ Secret Agenda sedikit demi sedikit membina empayar supaya dapat diterima peminat. Ternyata apa yang kami impikan selama ini sedikit demi sedikit membuahkan hasil," katanya.

CERITA kehebatan Secret Agenda turut tempias ke Singapura.
CERITA kehebatan Secret Agenda turut tempias ke Singapura.

Tidak hanya di Malaysia, kehebatan Secret Agenda juga turut menarik perhatian peminat negara jiran Indonesia di mana mereka dijemput beraksi di festival muzik Indonesia Deathfest yang berlangsung pada 16 September 2018 bersama kumpulan popular seperti Deadsquad dan Jasad.

Selain itu, mereka turut beraksi di Thailand pada 8 Mac tahun lalu. Bahkan cerita kehebatan Secret Agenda turut tempias ke Singapura.

"Pada tahun lalu juga kami menyertai pertandingan Sound Stage Evolution anjuran ROTTW di mana kami diangkat sebagai juara keseluruhan.

"Kami turut diberi peluang beraksi di gig Total War III bersama-sama nama hebat muzik bawah tanah tempatan seperti Carburator Dung, Negation dan beberapa band lagi.

"Ternyata platform ini sedikit sebanyak memberi impak yang cukup positif untuk kami terus melangkah ke peringkat seterusnya," katanya.

Secret Agenda turut terkesan dengan pandemik Covid-19. Mereka sepatutnya dijadualkan beraksi di gig sempena pelancaran album kumpulan Inhuman pada Mac dan gig sempena 20 tahun penubuhan kumpulan Giegiel yang dijadualkan pada April.

"Walaupun terkesan dengan wabak yang melanda dunia, kami mengambil peluang yang ada untuk terus berkarya bagi memastikan album akan datang tampil dengan muzik yang lebih bertenaga.

JUARA keseluruhan pertandingan Sound Stage Evolution anjuran ROTTW tahun lalu.
JUARA keseluruhan pertandingan Sound Stage Evolution anjuran ROTTW tahun lalu.

"Alhamdulillah, empat lagu sudah pun dihasilkan, cuma menanti saat sesuai untuk dirakamkan," katanya.

Nuansa muzik Secret Agenda lebih terarah kepada thrash metal moden di mana mereka menggabungkan elemen metal yang banyak dipengaruhi beberapa kumpulan awal seperti Exodus, Metallica, Megadeth, Pantera dan Kreator.

Selain itu, mereka juga mengadunkan irama yang banyak mempengaruhi pendengar masa kini seperti Trivium, Lamb of God dan Testament dalam menghasilkan bunyi dan susunan lagu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 6:20 AM