Rahila Ali.
Rahila Ali.
Norhayati Nordin

Pengarah drama dan filem, Rahila Ali mendedahkan dia pernah didoakan semoga mati oleh segelintir netizen ketika berjuang menjalani rawatan Covid-19 di hospital, April lalu.

Rahila disahkan positif Covid-19 bersama beberapa pelakon dan kru produksi drama Demi arahannya yang menjalani penggambaran di Iverness, Scotland sekitar Mac lalu.

Rahila ketika ditemui berkata, dalam keadaan sakit dan menjalani rawatan di hospital ketika itu, dia hanya mampu berdoa, bersabar dan terus mendiamkan diri.

"Kalau tengok telefon ketika itu (sewaktu dirawat), memang sedih kerana mesej diterima daripada netizen di Instagram kebanyakannya mendoakan saya mati.

"Beribu-ribu mesej saya terima daripada netizen yang mahu saya mati kerana mereka marah saya kerana dikatakan sudah menyebabkan orang lain terutama artis kesayangan menjadi mangsa dijangkiti Covid-19 akibat penggambaran di luar negara itu," katanya.

Sebagai bekas pesakit Covid-19, Rahila yang sudah sembuh sepenuhnya memaklumkan dia kini sangat berhati-hati, apatah lagi sekarang Malaysia mencatat peningkatan kes baharu setiap hari.

Mengulas tahap kesihatannya juga, Rahila berkata, impak daripada Covid-19 itu, dia sudah tidak secergas dahulu dan mudah berasa penat ketika bekerja.

"Saya kini cepat sangat rasa penat dan selain itu, masalah rabun untuk kedua-dua mata jadi lebih teruk dan perlu bergantung dengan cermin mata atau kanta lekap.

"Kalau dulu, saya hanya perlu memakai cermin mata untuk membaca. Tapi, sekarang memang kena pakai setiap masa atau guna kanta lekap saja. Jika tak guna, penglihatan saya kabur teruk dan tak nampak langsung," katanya.

Rahila yang memiliki sejarah penyakit asma turut mengakui dia tak mahu lagi menaiki pesawat kerana mendakwa terkena jangkitan Covid-19 dalam pesawat.

"Ketika di Scotland itu, pasukan kru produksi saya dan pelakon ada 25 orang dan kami semua okay sepanjang penggambaran di sana. Cuma, beberapa orang termasuk saya dijangkiti Covid-19 kerana kami dalam penerbangan sama.

"Sebagai hamba-Nya, kita kena reda. Cuma, yang buat saya sedih dan terkilan apabila segelintir netizen sanggup menuding jari dan mendoakan yang tidak elok kerana saya dan pasukan dicop kluster Scotland," katanya.

Selain Rahila, turut dijangkiti Covid-19 dari Scotland ketika itu ialah pelakon Asyraf Muslim, Puteri Aishah, bintang cilik, Puteri Rayyana Rayqa serta ibunya, termasuk jurukamera, Anbia.

Mengulas perkembangannya, Rahila baru selesai mengarahkan satu telefilem dan terbaru, filem Aku Bukan Gila sentuhannya, kini ditayangkan di platform penstriman WeTV iflix.

Filem yang menggandingkan pelakon Beto Kusyairy, Fasha Sandha dan Wanna Ali itu diterbitkan produksi Pencil Pictures yang mengetengahkan kisah masalah mental, bipolar disoder.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 11:20 AM