BUKAN saja tular dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa, tetapi lagu Mengantuknya Mumia ciptaan DJ Fuzz untuk siri animasi Didi & Friends sudah mencatat 79 juta tontonan di saluran YouTube Didi & Friends.
Sentuhan unik dengan gaya muzik tersendiri membuatkan lagu berkenaan berjaya memukau pendengar terutama kanak-kanak khususnya peminat Didi & Friends.
Ketika ditanya mengenai rahsia sebalik lagu berhantu itu, DJ Fuzz yang sebelum ini lebih gemar menyanyi atau menghasilkan lagu hip-hop berkata, dia kini mempraktikan muzik untuk kehidupan.
Menurutnya, dia kini mula menggunakan muzik untuk beramal, berniaga dan mencari keredaan Allah.
"Selama ini kita hanya gunakan muzik untuk hiburan semata-mata tanpa mempelbagaikannya dan kini saya menggunakan muzik untuk perkara yang lebih berfaedah," katanya.
Selain membantu dan menghasilkan lagu untuk artis tempatan seperi Zizi Kirana, W.A.R.I.S dan Mark Adam itu, bekas ahli kumpulan The Tarik Crew itu juga sibuk menghasilkan lagu untuk usahawan dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
"Kini saya banyak menghasilkan lagu untuk produk dan alhamdulillah ia melekat di bibir peminat dan kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan apa yang saya hasilkan," katanya.
Antara lagu produk ciptaannya yang kerap dimainkan di stesen radio ialah lagu dalam iklan kosmetik, tudung, minuman, makanan dan perkhidmatan.
"Selain lagu produk, saya juga menghasilkan lagu untuk program NGO yang banyak membantu masyarakat dalam atau luar negara mengumpul dana dalam program kemanusiaan.
"Saya mahu mempelbagaikan seni bukan untuk hiburan semata-mata malah untuk perniagaan dan kebajikan, lagu yang saya buat harus 'catchy' dan setakat ini, Alhamdulillah sentiasa melekat di hati pendengar" katanya .
Selain menghasilkan lagu, DJ Fuzz sendiri memperuntukkan dana khusus untuk kerja-kerja amal dan sering bekerjasama dengan NGO dalam kerja-kerja kebajikan.
Sehubungan itu, tidak hairanlah dia bercita-cita untuk menubuhkan yayasan atau sekurang -kurangnya rumah kebajikan sebelum 'menutup mata'.
"Ibu saya berpesan, kita perlu berbuat sesuatu untuk diingati orang dan setakat ini saya menerbitkan buku untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan saya dalam bidang muzik. Insya-Allah jika ada rezeki lebih saya berhasrat membina rumah kebajikan sendiri.
"Apapun saya sangat bersyukur kerana rezeki yang diterima tidak pernah putus dan benarlah kata orang , lagi banyak kita memberi, lagi banyak kita akan terima. Saya percaya pada kata-kata itu," katanya.