PENGHIJRAHAN kepada memakai hijab kerana Allah dan kini dalam proses membiasakan diri bertudung.
PENGHIJRAHAN kepada memakai hijab kerana Allah dan kini dalam proses membiasakan diri bertudung.
Norhayati Nordin


SELAIN jodoh yang sinonim dengan 'menunggu seru', penghijrahan imej daripada tidak bertudung kepada memakai hijab juga ada hubung kaitnya.

Bagi pelakon dan penyanyi, Tash Yong, 30, yang sudah berhijab sejak Aidiladha lalu menyifatkan 'seruan hijrah' sudah digerakkan Allah di dalam hatinya.

"Alhamdulillah, walaupun pada mulanya saya memang gementar dengan penghijrahan dilakukan ini, tapi syukur segala-galanya lancar.

"Saya sebenarnya lebih tertanya-tanya bagaimana penerimaan industri untuk pelakon bertudung. Namun, yang pasti rezeki Allah itu sangat luas.

"Malah, saya dapati ramai juga pelakon wanita yang bertudung di negara ini berjaya dalam kerjaya seni mereka. Bahkan, tak kurang juga popular," katanya.

Menurut Tash atau nama sebenarnya Nur Natasha Shazlia Rosli, apa yang utama kini dia berasa jiwanya sangat tenang dan lebih positif.

"Syukur, selepas sudah berhijab ini perasaan saya sangat tenang. Cuma, sekarang masih dalam proses membiasakan diri memakai tudung.

"Tak dinafikan, saya masih kekok untuk menggayakan tudung. Terutama, untuk suai padankan dengan pakaian dipilih kerana selesa gaya ringkas.

"Namun, macam mana ringkas pun gaya pemakaian saya kenalah sesuai. Oleh itu, kini saya perlukan masa hampir tiga jam untuk bersiap," katanya.

Menurut Tash lagi, dia pernah termenung lama memandang pakaian dalam almari kerana tidak tahu nak pilih mana yang sesuai untuk digayakan dengan tudung,

"Tujuan saya memilih pakaian dan tudung yang suai padan itu bagi keselesaan diri. Saya tak mahu pakaian 'simple' tapi menunjukkan bentuk badan.

"Saya kini cuba membuat perubahan diri ke arah kebaikan. Tidak melakukannya secara drastik, tetapi perlahan-lahan dan berkekalan.

"Apatah lagi, saya bertudung sekarang kerana Allah. Alhamdulillah, saya memakainya dengan rela hati dan berharap terus istiqomah," katanya.

Mengulas kerjaya

seninya, Tash berkata minatnya pada lakonan dan nyanyian tidak pernah pudar. Cuma, ujarnya rezeki untuk projek baharu belum ada.

"Bagaimanapun, saya tidak sedih dan meratapi nasib diri. Bagi saya, mungkin sekarang bukan rezeki saya dalam bidang seni tetapi perniagaan.

"Syukur juga, walaupun saya tidak ada tawaran lakonan yang baharu tetapi pendapatan daripada perniagaan diusahakan sangat membantu meneruskan kelangsungan hidup.

Tash pernah dikenali menerusi drama Menantu Ting Tong di TV3 bersama Ruhainies dan Ben Amir. Bahkan, pada 1 Februari lalu, Tash tampil dengan lagu solo pertama berjudul Lepas ciptaan Zah Amirul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 6:11 AM