Gbob. FOTO Ihsan Siti Aisyah
Gbob. FOTO Ihsan Siti Aisyah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Isteri kepada pelawak dan pelakon Gbob, Siti Aisyah Wahiddin, terpaksa mengeluarkan wang sendiri bagi membiayai kos pemasangan semula tempurung kepala suaminya di Hospital Kuala Lumpur yang dijangka berlangsung esok.

Aishah, 38, berkata, dia buntu untuk mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak dalam jangka masa singkat.

"Buat masa ini belum ada lagi apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak termasuk persatuan artis. 

"Kos pembedahan sebenar belum diketahui lagi. Bagaimanapun harga titanium plate untuk pembedahan berjumlah RM600 dan saya gunakan duit sendiri.

"Doktor bagi masa untuk cari jumlah itu dalam masa sebulan sahaja. Nak tak nak, saya kenalah guna duit sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Gbob, 33, atau nama sebenarnya Hamizi Hashim terjatuh dalam bilik air di rumahnya pada 5 Mac lalu dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Doktor mencabut tempurung kepalanya bagi menjalani pembedahan membuang darah beku dan membenarkan dia berehat di rumah untuk proses pemulihan. 

Menurut Aisyah, kos keseluruhan pembedahan hanya akan diketahui apabila suaminya dibenarkan keluar dari hospital nanti.

"Sebagai persediaan, saya kini dalam proses untuk hantar permohonan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Sebelum masuk dunia seni, suami pernah kerja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebagai pengurus bahagian penyediaan makanan dan minuman.

"Jadi dia pernah mencarum dalam Perkeso. Apapun saya mengalu-alukan sekiranya orang ramai masih nak menghulurkan bantuan kepada kami tak kisahlah lampin pakai buang dewasa pun," katanya.

Mengulas lanjut pembedahan Gbob, Aisyah berkata, ia mungkin berlangsung pada sebelah pagi.

"Cuma, saya dapat lihat perasaan suami yang amat takut apabila menangis. Semua emosi ada. 

"Pembedahan akan ambil masa selama satu jam untuk pasang semula tempurung kepalanya yang disimpan sejak Mac lalu. 

"Suami tak sabar tunggu pembedahan selesai. Katanya, dia tak sabar nak buat fisio dan rehab serta jadi normal semula," katanya. 

Menurutnya, Gbob juga tidak sabar untuk buat rutin harian antaranya berlakon dan berjumpa rakan-rakan.

"Dia masih lagi tak boleh berjalan sepenuhnya sekarang dan masih belum boleh uruskan diri sendiri kerana anggota sebelah kanan badannya masih lemah. 

"Kata doktor, sekiranya selepas pembedahan pun suami masih lagi sukar untuk bergerak dan proses berkomunikasi masih sukar, dia akan disyorkan tinggal di pusat rehab samada di Melaka atau di Cheras.

"Ia perlu dilakukan untuk proses pemulihan sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 3:40 PM