ARTIS K-Pop pertama terpilih dan bakal ditayangkan pada 14 Oktober ini.
ARTIS K-Pop pertama terpilih dan bakal ditayangkan pada 14 Oktober ini.
Georgie Joseph

my

ANNYEONGHASEYO! Platform penstriman popular Netflix mengumumkan BLACKPINK menjadi artis K-Pop pertama dipilih untuk ditayangkan dokumentarinya pada 14 Oktober ini. Diarahkan Caroline Suh, fokus utama dokumentari itu tidak lain mengenai perjalanan karier mereka.

Tidak dinafikan, kebangkitan kumpulan itu dalam industri muzik dunia terlalu luar biasa fenomenanya. Diperkenal pada 2016, pencapaian kumpulan dianggotai Jisoo, Jennie, Rose dan Lisa itu juga sangat membanggakan.

Pastinya ramai juga ingin melihat apa yang berlaku di sebalik tabir perjalanan mereka untuk sampai ke tahap sekarang. Mana tidaknya, selalunya selama ini peminat cuma mengikuti persembahan atau kemunculan rasmi mereka saja.

Bagaimanapun, menerusi dokumentari terbabit, banyak sedutan yang tidak pernah dilihat bakal didedahkan. Ia termasuk kehidupan seharian mereka di lokasi kediaman selain peristiwa sebenar yang berlaku sewaktu mereka berada di belakang pentas.

Tidak ketinggalan, sepanjang dokumentari itu, setiap anggotanya akan berkongsi secara mendalam mengenai kisah perjalanan karier mereka. Semestinya, ia bakal merungkai banyak persoalan yang berlegar di benak peminat.

"Kami sangat teruja dapat berkongsi cerita kami terutam

a kepada Blinks di seluruh dunia menerusi dokumentari Netflix ini. Kami berharap projek ini akan membawa kegembiraan kepada semua penonton kelak," kata kumpulan itu.

Menurut Naib Presiden Dokumentari Rencana Netflix, Adam Del Deo, kumpulan itu semestinya paling layak dipilih untuk projek sulung terbabit disebabkan fenomena yang dicetuskan sebagai kumpulan wanita paling berpengaruh saat ini.

"Fenomena K-Pop sememangnya menguasai dunia sekarang dan BLACKPINK tidak dinafikan menjadi kumpulan paling dikenali dan popular. Penonton bakal melihat betapa organik dan jujur kumpulan ini berkongsi mengenai saat-saat dilalui dalam kerjaya mereka.

"Begitu juga persiapan tanpa lelah serta dedikasi mereka untuk menghasilkan lagu hit, persembahan penuh sejarah dan siri jelajah yang tiketnya terjual habis. Kami sangat berbesar hati dapat membawakan cerita mereka kepada peminat di seluruh dunia," katanya.

Pengarah Caroline adalah pembikin filem dokumentari terkenal yang banyak menghasilkan projek untuk filem, TV dan komersial. Selain Netflix, hasil kerjanya turut ditayangkan di CNN Films, Sundance Channel, PBS, Epix, A & E, History Channel dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 6:45 AM