MISI Bill dan Ted mengembalikan keharmonian alam semesta menerusi filem francais ketiga.
MISI Bill dan Ted mengembalikan keharmonian alam semesta menerusi filem francais ketiga.
Najiy Jefri

SELEPAS kali pertama diterbitkan pada 1989 menerusi filem Bill & Ted's Excellent Adventure, kini filem ketiga daripada francais karya itu bakal menemui penonton setianya bermula semalam.

Jika sebelum ini Bill & Ted's Excellent Adventure (1989) dan Bill & Ted's Bogus Journey (1991) berjaya menyihir penonton di pawagam, terbaharu filem francais ketiganya memperkenalkan Bill & Ted Face the Music dengan jalan cerita lebih segar dan matang.

Lebih menarik, Bill & Ted Face the Music bakal memperlihatkan kehadiran semula pelakon filem daripada francais sebelum ini iaitu Alex Winter dan Keanu Reeves.

Filem ini mengisahkan dua watak utama itu yang kini berstatus bapa dalam lingkungan pertengahan umur.

Mereka menerima amaran daripada seorang pelawat dari masa depan untuk mencipta lagu yang boleh menyelamatkan nyawa dan mengembalikan keharmonian alam semesta.

William (Bill) S Preston Esq lakonan Winter dan Theodore (Ted) Logan dimainkan Reeves cuba menyelesaikan tugasan itu dengan kerjasama keluarga serta rakan lama mereka termasuk barisan pemuzik terkenal.

Diarahkan oleh Dean Parisot, Winter berkata, dia terpaksa mengingat semula watak yang dilakonkan sebelum ini serta menyusun semula karakter terhadap filem francais ketiga itu.

ANTARA aksi Reeves (kiri) dan Winter dalam Bill & Ted Face the Music.
ANTARA aksi Reeves (kiri) dan Winter dalam Bill & Ted Face the Music.

"Filem ini saya ambil masa untuk jayakan kerana perlu melalui beberapa proses penambah baik terhadap skripnya. Saya perlu memberikan kredit kepada penulis skrip kerana berusaha keras dalam memberikan hasil karya terbaik.

"Watak yang dijayakan kali ini juga bukan mudah kerana saya perlu mengenal pasti tuntutan karakter itu. Saya banyak menghabiskan masa dengan Reeves dalam menghidupkan watak masing-masing.

"Saya akui teruja apabila Reeves sangat komited dan kami mudah mencari keserasian dalam menjayakan filem ini. Tidak banyak perkara yang sukar ketika kami melontarkan dialog bersama, semuanya berlangsung dengan baik sepanjang proses penggambaran," katanya.

Ditanya mampukah filem itu mengajak penonton ke pawagam kerana mungkin ada generasi yang tidak pernah menontonnya, Reeves pula berkata, dia yakin filem itu akan memberi hiburan berganda kepada penonton.

PENAMPILAN bintang baharu, Kid.
PENAMPILAN bintang baharu, Kid.

"Filem ini dihasilkan dengan jalan cerita yang bagus dan menyeronokkan. Tidak kisahlah sama ada anda pernah menontonnya dulu atau tidak, tetapi saya yakin penonton akan jatuh cinta dengannya.

"Meskipun filem ini mula diterbitkan sekitar 31 tahun lalu, namun aura filem ini yang dibawakan pada era awal 90-an masih dirasai pada abad ke-21 ini. Saya percaya, pasti ada antara anda yang dekat dengan filem ini kerana jalan cerita dan muzik yang dibawakan," katanya.

Selain lakonan mantap Winter dan Reeves, filem terbabit turut menampilkan bintang baharu seperti Kid Cudi, Kristen Schaal, Anthony Carrigan, Erinn Hayes dan Jayma Mays.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 6:30 AM